Bunga meriahkan Syawal dengan single Raya pertama berjudul ‘Sebulan Raya’

KUALA LUMPUR, 28 Februari – Sambutan Hari Raya Aidilfitri sememangnya menjadi detik yang paling dinantikan oleh kebanyakan rakyat Malaysia. Kemeriahan berkumpul bersama keluarga dan sanak saudara di kampung halaman menjadikan Syawal lebih bermakna. Perasaan yang sama turut dirasai oleh penyanyi berbakat, Bunga, yang teruja menyambut lebaran sambil menghadiahkan single raya pertama buat peminatnya, Sebulan Raya.

Menurut Bunga, Sebulan Raya merupakan single raya pertamanya sejak memulakan karier seni pada tahun 2019. Penyanyi yang popular dengan lagu Intan Payung itu mengakui amat teruja untuk berkongsi suasana kemeriahan Syawal menerusi karya terbaharunya ini.

“Sejujurnya, Sebulan Raya memberikan keterujaan yang luar biasa kepada saya. Semuanya berlaku dalam masa yang singkat, dan saya sangat bersyukur kerana berpeluang bekerjasama dengan ramai pihak bagi menjayakan lagu ini,” katanya.

Lebih menarik, single ini menampilkan sentuhan kreatif komposer tersohor, Edry Abdul Halim. Bunga menyifatkan peluang bekerjasama dengan Edry sebagai satu pengalaman berharga sepanjang bergelar anak seni.

“Segalanya berlaku tanpa dirancang ketika saya menghadiri acara Muzikal Lawak Superstar tahun lalu. Ketika itu, lagu Magika, yang merupakan runut bunyi filem Magika (2010), dimainkan dan ia benar-benar menarik perhatian saya.

“Dari situ, timbul idea untuk menghasilkan sebuah lagu yang mempunyai vibe serupa dengan runut bunyi filem tersebut. Saya kemudiannya bertemu dengan abang Edry dan meminta beliau menghasilkan sebuah karya baharu,” jelasnya.

Menurut Bunga, sesi perbincangan bersama Edry berlangsung dengan penuh kreativiti, di mana beliau diberi kebebasan memilih susunan muzik dan turut menyumbang idea dalam penulisan lirik lagu.

“Saya diberikan beberapa pilihan beat, dan berpeluang memberikan input bagi menambah baik lagu ini. Ini merupakan pengalaman paling berharga kerana dapat bekerjasama dengan seorang komposer berpengalaman luas,” tambahnya lagi.

Diterbitkan oleh Warner Music Malaysia, Sebulan Raya dilancarkan secara rasmi pada 28 Februari di semua platform digital. Selain itu, Bunga turut menjalani penggambaran video muzik (MV) di beberapa lokasi menarik di Sekinchan, Kuala Selangor.

Bunga mendedahkan bahawa konsep MV tersebut direka khas untuk membawa kembali nostalgia kemeriahan Hari Raya bersama keluarga.

“Ada beberapa idea yang saya cadangkan, dan pasukan produksi merealisasikannya dengan baik. Bagi saya, ini adalah satu proses penting untuk memastikan hasil akhirnya menggembirakan semua pihak, termasuk peminat. Apa yang boleh saya katakan, MV ini meriah dan penuh kejutan,” katanya.

MV rasmi Sebulan Raya boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Warner Music Malaysia. Bunga juga mengumumkan bahawa beliau kini dalam perancangan untuk melancarkan album penuh tidak lama lagi.