
KUALA LUMPUR – Kumpulan punk rock terkenal tanah air, Bunkface, menggemparkan industri muzik tempatan dengan pelancaran single terbaharu mereka bertajuk ‘Memberontak’ yang boleh didengari di pelbagai platform digital sejak 18 Oktober lalu.
Single tersebut tampil dengan pendekatan muzik yang lebih agresif dan keras, ditambah dengan alunan gitar yang lebih ‘mengganas’ bagi menyampaikan tema dan mesej lagu dengan lebih berkesan.

Pemain gitar kumpulan berkenaan, Paan berkata, single baharu itu mendapat sambutan memberangsangkan daripada peminat tegar yang telah mengikuti perjalanan kumpulan itu sejak awal penubuhannya.
“Kami menerima banyak respons positif dari peminat berkenaan lagu ini. Kebanyakan mereka adalah penyokong setia yang telah lama mengikuti dan menyokong karya Bunkface sejak dari awal,” katanya.
Beliau turut memberitahu, kumpulan itu kini dalam persiapan rapi untuk membawakan single baharu tersebut dalam persembahan akan datang.

‘Memberontak’ yang kini boleh didengari di semua platform penstriman digital utama dijangka mengekalkan identiti Bunkface yang sering dikenali dengan keghairahan dan semangat dalam setiap karya mereka.
Lagu itu turut membawa pendengar melalui pengalaman emosi yang tulen dengan melodi yang memukau.