December 6, 2024

PETALING JAYA – Selepas kejayaan konsert 25 tahun di Stage Theatre PJ PAC Petaling Jaya, Januari lalu, kini penyanyi RnB terkenal tanahair, Lah Ahmad kembali semula menghangatkan pentas yang begitu gah serta berprestij menerusi konsert Lah Ahmad Jatuh Cinta Live at Istana Budaya yang bakal berlangsung pada 7 Oktober 2023 bermula jam 8.30 malam.

Menurut Lah yang sinonim dengan lagu-lagu bertemakan cinta, konsert yang bakal berlangsung pada bulan depan ini adalah kesinambungan konsert awal tahun lalu yang mana mendapat maklum balas yang sangat positif daripada peminatnya. 

Lah juga mengakui konsert kali ini adalah suatu cabaran buat dirinya kerana peminat bukan setakat menilai dari segi vokalnya sahaja tetapi juga energi persembahan yang akan ditampilkan nanti.

“Bagi saya untuk konsert seperti ini, penonton nak tengok kita ni sebagai seorang penghibur atau penyanyi boleh atau tidak kita melaksanakan satu persembahan itu dari awal hinggalah penghabisan konsert, cabaran itu sangat besar.

“Kalau dulu masa awal pembabitan saya, untuk artis mengadakan konsert ini sangat susah kalau ada pun konsert seperti Jom Heboh yang mana kita nyanyi hanya satu atau dua lagu kemudian selesai, tetapi apabila kita buat konsert sendiri, itulah cabaran yang harus saya tempuhi namun saya suka take up the challenge.” Kata pemenang Anugerah Persembahan Vokal Terbaik di AJL ke 22 ini.

Mengambil pendekatan cinta, Lah merasakan maksud cinta itu sangat luas dan dia juga berharap penonton yang akan datang menyaksikan konsertnya itu nanti dapat menghayati melodi dan bait-bait lirik cinta yang akan dipersembahkan kelak.

“Saya memang akan mencari satu tarikan sebagai pemacu untuk membuat kerja dan disebabkan itu saya memilih judul Jatuh Cinta Live kat Istana Budaya. Tema Jatuh Cinta itu cukup luas difinasinya, bukan hanya cinta sesama manusia, makhluk tetapi cinta kepada ‘Sang Pencipta’, namun bagi konsert kali ini ianya lebih memfokuskan kepada album terbaru saya yang berjudul ‘Jatuh’”, katanya.

Lah juga tidak menafikan bahawa kebanyakan lagunya-lagunya berkisarkan cinta serta muzik RnB sudah sebati dengan dirinya namun dia tidak menolak yang dirinya menggemari muzik rock semenjak usia remaja lagi.

“Sejak dari dulu saya memang terikat dengan lagu-lagu cinta. Kalau nak ikutkan saya nak buat band rock, sementelah saya cukup menggemari lagu-lagu yang bernuansakan rock, grunge dan sebagainya. Malah saya pernah ada band rock namun bila bab nyanyi terus out”, ujar Lah Ahmad ketika ditemui di The Curve, Mutiara Damansara baru-baru ini.

konsert yang diberi tajuk ‘Jatuh Cinta’ diambil bersempena dengan judul single beliau sendiri, Lah ingin membawa peminatnya menerawang mengembara ke dunia cinta ciptaan beliau ataulebih tepat ‘intim’ bersama peminat yang selama ini memberi sokongan dan dorongan kepadanya.

“Saya juga nak rapatkan sistem kekeluargaan dalam sebuah rumah tangga dan menyampaikan mesej kepada masyarakat bahawa paling penting mak dan ayah kena jatuh cinta dan berkomunikasi secara elok dengan anak-anak supaya anak-anak pun berkelakuan baik,” jelasnya.

Penganjur utama konsert bertaraf mega ini, Rubbertapper Production House (M) Sdn Bhd yakin akan dapat mencapai sasaran jualan tiket seperti dirancang walaupun hanya berbaki kurang dari sebulan malah pihak pengurusan menyatakan setakat hari ini, penjualan tiket telah mencapai hampir 70%, ini menunjukkan bahawa sambutan yang begitu menggalakkan dari peminat – peminat Lah Ahmad.

“Terlalu banyak yang ingin saya kongsikan bersama peminat yang membesar dengan lagu-lagu saya sejak dulu hingga kini. Selain daripada itu saya juga akan menyampaikan lagu-lagu cover yang memang menjadi ‘siulan’ saya. Sebelum ini saya tidak tahu dimanakah tempat untuk saya luahkan, tapi kini ianya akan dirialisasikan,” katanya.

Gabungan antara Lah Ahmad dan pemuzik dari Orkestra Simfoni Universiti Malaya sudah tentu memberikan suatu kelainan dalam persembahan dan ianya pasti menjadi satu persembahan yang berprestij dan bertaraf antarabangsa sesuai dengan lokasi yang dipilih.

“Meskipun saya bergabung dengan ‘strings’ olahan lagu dan melodi dibuat dengan sebaik mungkin demi memuaskan hati khalayak yang menyaksikan konsert itu nanti”, katanya.

Konsert ini akan diarahkan oleh Dato’ Reduan Yusof sebagai Pengarah Projek manakala Muhammad Shahwalnaz Hussin yang merupakan pemuzik Orkestra Tradisional Malaysia di Istana Budaya akan bertindak sebagai Pengarah Muzik.

Sempurna dan Terbaik, Adinda dan Kerna Sayang adalah antara 21 lagu yang akan didendangkan sepanjang 2 jam persembahan, Lah Ahmad juga ada menyatakan bahawa ada kejutan pada malam konsert tersebut, dimana beliau akan menjemput beberapa artis undangan. Lah akan mengumumkan artis-artis undangan tersebut hanya pada malam persembahan itu.

“Saya juga akan membawa lagu-lagu yang belum pernah saya nyanyikan sepanjang kerjaya selama lebih 20 tahun dalam industri dan juga beberapa lagu ketika bersama kumpulan VE kerana tidak semua tahu saya lahir dari kumpulan itu malah anak saya pun tak tahu,” ujarnya lagi.

Untuk rekod, sepanjang pembabitan Lah Ahmad di dalam industri, beliau telah menerbitkan 4 buah album di mana antara lagu yang popular adalah Sempurna dan Terbaik, Adinda, Kerna Sayang dan Ayu.

Konsert Lah Ahmad Jatuh Cinta di Istana Budaya ini juga mendapat kerjasama dari Kementerian Komunikasi dan Digital serta My Creative Venture manakala Ideas Kuala Lumpur Hotel bertindak sebagai hotel rasmi, radio Sinar pula selaku radio rasmi bagi konsert ini dan menawarkan beberapa tiket percuma kepada pendengar bertuah.

Tiket – tiket Lah Ahmad Jatuh Cinta at Istana Budaya telah mula dijual pada 25 Ogos yang lalu dan boleh dibeli secara atas talian dengan melayari ilassotickets.com.