KUALA LUMPUR – Drama-drama kekeluargaan disiarkan menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) sememangnya dekat di hati. Dengan plot cerita yang realitinya berlaku dalam masyarakat kita setiap hari, drama bersiri pilihan RTM mampu mencetuskan inspirasi termasuklah kepada golongan hawa yang setiap hari berdepan dugaan dan cabaran dalam hidup.
Menerusi drama arahan Hazreen Hakim bertajuk “Aku Yang Naif”, penonton diajak menyelami kisah masyarakat berkisar sekitar kehidupan profesional, personal dan emosional tiga sahabat baik; Iffah, Niza dan Wawa.
Iffah lakonan Husna Mustafa seorang yang IT savvy, pegawai pemasaran serta pereka hiasan dalaman yang berjaya. Dia balu kematian suami, cantik, dan bergaya tetapi naïf. Dia menjadi tumpuan ramai lelaki dan wanita kerana statusnya itu.
Sementara itu, Niza dilakonkan oleh Tunku Hanis merupakan seorang suri rumah sepenuh masa, sudah lama berkahwin dengan Iqram tapi masih belum dikurniakan anak. Niza anti-poligami. Iqram agak kelakar, akur cakap isteri tetapi suka “menggatal”. Iqram juga terpikat pada Iffah.
Watak Wawa (Ezlynn Ariffin) pula seorang ahli perniagaan yang berjaya, tegas dan bersikap suka mengatur orang lain, hingga kerjaya dan masa depan anak-anak, dia nak tentukan. Latif pula rakan sepejabat Iffah, sudah beristeri tetapi selalu mengganggu dan cuba memikat Iffah.
Ikuti perjalanan kisah Iffah, Niza dan Wawa menjadi rakan kongsi sebuah kedai perabot mewah melalui pelbagai ragam dan suka duka terpaksa di samping kehidupan peribadi masing-masing.
Drama ini turut dibintangi oleh Anne Abdullah, Rahim Omar, Rashdan Baba, Redhwan Adha, Erry Putra, Ezany Nazarif, Bagio Damasutra dan Qazem Nor.
Menemui penonton sejak 13 Februari lalu, drama 20 episod ini disiarkan setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 5.00 petang di TV2.
RTM turut memberikan peluang kepada anda yang tidak berkesempatan menyaksikan menerusi saluran TV untuk mengikuti penstriman langsung secara percuma menerusi RTMKlik (rtmklik.rtm.gov.my).