KUALA LUMPUR – Penyanyi terkenal Indonesia, Cakra Khan, bakal menggegarkan pentas dengan konsert solonya yang dinanti-nantikan, Divine Concert – Cakra Khan. Konsert ini akan diadakan di dua lokasi utama di Nusantara, iaitu di Singapura dan Malaysia, susulan kejayaan pelancaran album keduanya, Divine, pada tahun 2024.
Konsert ini dianjurkan oleh Shiraz Projects dan akan berlangsung di The Star Theatre, Singapura pada 18 Julai 2025 sebelum diteruskan di Plenary Hall, Kuala Lumpur pada 2 Ogos 2025. Menurut Pengarah Urusan Shiraz Projects, Shirazdeen Karim, pemilihan tajuk Divine bukan hanya sekadar simbolik kepada album terbaharu Cakra Khan tetapi juga melambangkan kehebatan perjalanan seni penyanyi berusia 36 tahun ini.
“Divine Concert – Cakra Khan akan menjadi pengalaman magis buat peminat yang telah mengikuti perjalanan seninya. Selepas 11 tahun, Cakra Khan akhirnya melancarkan album kedua, dan kami mahu mengangkat keistimewaan itu dalam sebuah konsert yang hebat dan luar biasa,” kata Shirazdeen.
Tambahnya lagi, pemilihan Singapura dan Malaysia sebagai destinasi konsert adalah berdasarkan permintaan tinggi daripada peminat yang ingin menyaksikan penyanyi bersuara serak nan merdu ini beraksi secara solo di pentas besar. “Kami melihat minat yang begitu tinggi daripada peminat di kedua-dua negara, maka kami memilih dua lokasi yang sesuai untuk memberikan pengalaman terbaik kepada mereka,” katanya.

Cakra Khan, yang turut berkongsi keterujaannya mengenai konsert ini, memberikan pesanan ringkas kepada peminatnya. “Saya yakin peminat akan menikmati Divine Concert – Cakra Khan sama seperti saya menghargai sokongan dan apresiasi anda selama ini,” ujarnya.
Bagi peminat yang ingin mendapatkan tiket, jualan rasmi telah dibuka bermula 12 Februari lalu. Tiket untuk konsert di Singapura boleh didapati melalui laman web www.sistic.com.sg, manakala peminat di Malaysia boleh mendapatkannya di www.myticket.asia. Harga tiket bagi konsert di Kuala Lumpur ditetapkan pada RM1,295 (Meet & Greet), RM795 (Diamond), RM695 (Platinum), RM455 (Gold), RM255 (Silver) dan RM225 (Bronze). Sementara itu, harga tiket untuk konsert di Singapura adalah SGD248 (Meet & Greet), SGD168 (Diamond), SGD148 (Platinum), dan SGD128 (Gold).
Dengan barisan lagu popular seperti Kepada Hati, Salah Tapi Baik, Mencari Cinta Sejati, dan Kekasih Bayangan, peminat pasti tidak mahu melepaskan peluang untuk menyaksikan persembahan luar biasa daripada Cakra Khan secara langsung. Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada momen istimewa ini!