July 18, 2024

KUALA LUMPUR – Kisah diplomasi beruang panda gergasi antara China dan Malaysia dikongsikan dalam dsokumentari bertajuk “Cerita Antara Kita”, yang ditayangkan menerusi penstriman rtmklik.rtm.gov.my.

Dokumentari terbitan bersama antara Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Kumpulan Media China (CMG) ini menelusuri pengembaraan Azry Ahmad Mustafa Hadi bermula dari Zoo Negara Malaysia ke Pangkalan Shenshuping Pusat Perlindungan dan Penyelidikan Panda Gergasi China di Wolong, Sichuan, China. 

Disertai rakan penerbitan Liang Liang Husna dari CMG, penonton turut dibawa melawat dan mengikuti perkembangan terkini Sheng Yi iaitu panda yang lahir di Malaysia pada 31 Mei 2021 namun telah dikembalikan ke China pada 29 Ogos 2023.

Selain itu, lagu tema dokumentari ini bertajuk ‘Dua Dunia Satu Cinta’ dinyanyikan secara duet oleh Aina Abdul bersama Husna. 

Sesi penggambaran dokumentari ini tular di media sosial negara China dengan ratusan juta jumlah penontonan sekaligus turut memberi tempias positif kepada jumlah penontonan media sosial di Malaysia selain beberapa negara lain. 

Malaysia dan China mula menjalinkan hubungan dua hala secara rasmi pada 31 Mei 1974 menerusi Kenyataan Bersama yang ditandatangani oleh Perdana Menteri Malaysia kedua Tun Abdul Razak Hussein dan Perdana Menteri China Ketika itu, Chou En-Lai.