KUALA LUMPUR – Hanya menggunakan suara yang keluar dari petikan gitarnya sahaja sudah cukup memahami bahasa yang ingin dilontarkan oleh sosok lagenda gitaris tersohor tanah air, Jo Branko atau nama sebenarnya Abdul Zamin bin Abdul Kadir yang menjadi rujukan kepada bakat baharu mahupun lama dalam industri muzik khususnya mereka yang berada di posisi sebagai pemain gitar. Walaupun sudah lebih 35 tahun dalam industri muzik, Jo tidak pernah mendabik dada malah meneruskan perjuangan bagi memastikan hasrat dan impiannya dapat direalisasikan demi peminat-peminatnya yang sentiasa menagih kehebatan petikan beliau bersama ‘The Black Beauty’.
Terkini, selepas kejayaan konsert Barbarik dan Double Trouble 2, Jo Branko mengorak langkah berani menzahirkan idea geniusnya dengan menampilkan tujuh pemain gitar handalan di atas satu pentas dalam konsert Tujuh Vibrato Gitar yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 3 November 2023.
Selain Jo Branko, Tujuh Vibrato Gitar juga membariskan pemain-pemain gitar hebat iaitu Kidd Search, Man Keedal, Shah Slam, Jemboo Def Gab C serta pemain gitar muda Muzza dan Anis Kalisa. Mereka akan diiringi oleh kumpulan Barbarik yang dianggotai oleh Rozaimie (bass), Adi Yamin (keyboard) dan Ainoll (drum).
Buah fikiran untuk menganjurkan sebuah konsert yang menampilkan 7 orang gitaris hebat dalam industri muzik Malaysia adalah unik dan pertama kali akan dipersembahkan. 7 orang gitaris ini diundang berdasarkan keupayaan dan pengaruh mereka dalam genre muzik dan era mereka tersendiri. Nombor 7 adalah nombor keramat dan ia melambangkan Re Mi Fa Sol La Ti Do.
“Bila mana banyak konsert samaada rock, pop atau sebagainya semuanya itu hanya sebuah konsert yang kadar biasa sahaja, semua lebih kurang sama, jadi daripada situ timbul idea untuk buat suatu benda yang lain supaya dapat membantu industri untuk bercerita satu perkara yang baharu.
“Sebenarnya idea yang ‘gila-gila’ ni macam-macam dah ada dalam kepala, bila aku didatangi oleh penganjur untuk adakan konsert, dari situ aku terus bincang dengan team produksi dan akhirnya lahirlah idea untuk tampilkan 7 pemain gitar,” kata Jo Branko.
Bagi penyanyi rock lagenda, Muss yang telah lama mengikuti Jo dalam kerja-kerja membabitkan muzik turut mengakui Jo sememangnya mempunyai banyak idea yang jarang sekali dikongsikan bersama. Beliau juga tidak menyangka Jo mengeluarkan juga idea yang sangat luar biasa dan memberi impak yang positif untuk industri hiburan khususnya dikalangan pemain gitar.
“Saya sebenarnya dah lama mengikuti Jo dan dia ni banyak berahsia, banyak perkara yang berlaku pada awalnya saya tidak tahu apa yang akan terjadi, namun saya sangat kagum apabila Jo dapat buat apa yang dia simpan selama ini dalam kotak pemikirannya, inilah hasilnya dia berjaya merealisasikan konsert Tujuh Vibrato Gitar ini dan saya percaya banyak lagi idea-idea untuk perancangan akan datang yang dia masih simpan lagi,” kata Muss yang juga terlibat sebagai vokalis utama untuk konsert ini.
Konsert yang menjadikan pemain gitar sebagai teraju utama adalah konsert yang pertama kali diadakan di Malaysia dan konsert ini akan menjadi satu penanda aras buat pemuzik mahupun penganjur supaya ada lebih banyak lagi konsert-konsert seperti ini.
“Aku memang suka buat benda yang orang lain tak buat, kalau boleh benda ini sebagai satu penanda aras yang cuba aku ketengahkan dan selebihnya aku nak mendidik masyarakat supaya lebih menghargai pemuzik rock terutamanya pemain gitar yang menjadi peranan penting dalam penghasilan muzik rock,” jelas Jo ketika ditemui media di Ideas Hotel, di sini.
Bagi menyempurnakan impiannya tercapai, Jo memastikan setiap pemain gitar dan penyanyi yang bakal beraksi memenuhi kriteria dan kehendaknya agar konsert itu nanti menjadi sebuah konsert yang paling diingati. Bagi mewarnai konsert tersebut, 3 penyanyi berkarisma selaku vokalis utama untuk konsert itu nanti turut teruja menanti saat yang bakal menjadi sejarah. Menampilkan penyanyi bersuara lantang, Dato’ Hattan, vokalis Barbarik, Muss dan bekas vokalis kumpulan Kristal, Lan Solo.
“Bercerita tentang konsert ni, takkan sepanjang konsert tersebut kita nak hidangkan penonton dengan muzik sahaja, dia kena ada colour di situ. Pada aku 7 orang ni ibarat kek, kita kena hias kek itu secantik mungkin supaya orang nampak pun lebih selera itulah peranan 3 penyanyi ini dan aku pilih diaorang ni pun sebab saja-saja, tapi aku dah nampak apa yang aku nak buat dengan bakat diaorang ni,” katanya yang juga merangkap sebagai pengarah muzik untuk konsert ini.
Jo Branko juga seorang yang amat teliti dari segi pemilihan pemain gitar, penyanyi, muzik arrangment, persembahan pentas dan segalanya yang melibatkan kerja-kerja produksi agar perjalanan konsert tersebut sukses dan memenuhi kehendak peminat. Menurutnya keseluruhan lagu-lagu yang akan dibawa akan ditukar dengan arrangment baharu dan hanya mengekalkan melodi lagu asal tersebut.
“Semuanya baharu, macam buat album baharu, bila aku buat arrangment muzik ataupun konsert, aku cuba membayangkan bahawa aku yang sedang menonton di bawah pentas, jadi aku tahu apa kehendak sebagai penonton dan pada masa yang sama bila persembahan itu tak sesuai aku akan terus tukar, bukan hanya gitar line tetapi drum beat pun aku kena ambil tahu, itu memang formula aku daripada dulu lagi,” jelas bekas pemain gitar kumpulan Wings itu.
Ditanya mengenai pemilihan 2 pemain gitar muda, Muzza dan Anis Kalisa yang digabungkan bersama lagenda gitaris tersohor tanah air, Jo mempunyai alasannya yang tersendiri. Menurut beliau, Muzza seorang gitaris muda versatil dan berjaya menerobos dunia muzik di era media sosial menjadikan beliau punya pengikut dan pengaruh yang luas. Tidak dinafikan Muzza adalah seorang komposer, penulis lirik, penyanyi dan pemuzik pelapis generasi baru.
Begitu juga dengan Anis yang merupakan seorang gitaris manis tetapi garang di atas pentas. Sejak 2016, Anis turut bersama kumpulan Candy yang pernah popular menerusi lagu Akan Ku Tunggu. Anis juga merupakan bekas pelajar ASWARA dan mula aktif sejak berumur 17 tahun lagi serta berkebolehan menghasilkan lagu sendiri. Anis juga adalah wakil jenama Swee Lee Music Company dan beliau mesra dengan gitar jenama Gibson Les Paul kegemarannya.
“Bagi aku Muzza punya kiblat yang tak jauh dari kitaorang, lebih kepada muzik rock dan Muzza ini adalah gitaris baharu yang ada potensi, InsyaAllah bakal menggantikan kitaorang. Kebanyakan gitaris baharu yang ada, aku nampak dia ni ada pakej yang lengkap dari segi frontline gitaris, permainan dia pun bagus, sentiasa merendah diri dan biasanya orang yang macam ini kalau dia ikut landasan yang betul dia boleh pergi jauh.
“Anis pula perlu ada untuk mewarnai lagi konsert ini, kalau semua hitam kita kena bagi satu yang warna putih, kalau dulu-dulu tak ada lagi gitaris wanita yang boleh carry tapi aku lihat Anis ni boleh carry sebab pertamanya semua jarinya hidup dan keduanya atas perbincangan dengan pihak penganjur mereka mencadangkan nama Anis Kalisa, aku memang tiada masaalah sebabnya Anis sangat komited dengan kerja, sentiasa fokus dan dia boleh deliver tugasan yang aku beri pada dia.” Ujar Jo yang pernah menghasilkan lebih 20 buah album rock.
Dianjurkan oleh oleh Big Stage Entertainment Channel dan Anggerik Event Sdn Bhd sebagai Penganjur Bersama, konsert Tujuh Vibrato Gitar bakal menjanjikan kepuasan deria para penonton dengan alunan bunyi petikan gitar solo mahupun harmoni selain lontaran vokal dari barisan penyanyi rock terbaik.
“kami rasa terpanggil untuk menyajikan sebuah persembahan hebat khas untuk para peminat muzik rock khususnya gitar, kerana belum ada lagi mana-mana persembahan yang mengumpulkan barisan tujuh orang pemain gitar handalan negara di atas satu pentas. Diharapkan para peminat muzik rock dapat hadir beramai ramai menyaksikan Konsert Tujuh Vibrato Gitar yang julung kali akan diadakan. Nantikan dan rasailah sendiri pengalaman menonton Konsert Tujuh Vibrato Gitar ini.” Kata wakil penganjur Big Stage Entertainment Channel.
Sementara itu, mereka sedang giat menjalankan latihan secara intensif untuk memberikan persembahan yang ‘all out’. Penonton yang hadir di konsert tersebut berpeluang mendengar beberapa ‘masterpiece’ daripada gitaris yang akan tampil memainkan petikan gitar solo mereka yang telah menjadi ikonik. Konsert ini bakal menjadi sebuah persembahan yang padat, dinamik, unik dan memberi kepuasan yang tidak dapat diperolehi dari mana-mana persembahan sebelum ini.
Konsert Tujuh Vibrato Gitar akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 3 November 2023, bermula jam 8.30 malam, manakala tiket-tiket boleh didapati dengan melayari www.tix-box.com. Harga tiket mengikut kategori Cat 1 Rock Zone RM188 (berdiri), Cat 2 Normal Seats RM278.00 (bernombor), Cat 3 Premium seats RM338 (bernombor) dan Cat 4 VIP box RM5,000 (8 pax/box).