July 19, 2024

KUALA LUMPUR – Sudah sekian lama industri muzik arus perdana tanah air tidak diperdengarkan dengan band multi bakat semuda Cherry On Top yang membuka banyak mata sejak single mereka, Ketagih dilancarkan.

Setahun penggabungan, memperkemaskan penampilan, enam anak muda ini yang berkongsi minat mendalam terhadap seni nyata tidak menduga kejutan yang menanti apabila pesona sehebat Datuk Syafinaz Selamat sedia berkolaborasi.

“Siapalah kami ini berbanding beliau, Datuk Syafinaz Selamat?” kata Kuzan, 22, atau nama sebenarnya, Raja Hifzhan Shah Raja Mohd Sham yang merupakan pemain keyboard, juga programmer dan vokal yang mengetuai band yang berasal dari Kuala Lumpur ini.

Dimuatkan di dalam EP sulung mereka, Ketagih, bersempena single ciptaan Kusham dan lirik oleh Syafinaz Selamat itu, ia seolah booster buat band yang turut disertai gitaris, Osama, 23; pemain dram, Ayen Tommy, 25; penyanyi utama, Holy, 23; selain pasangan adik beradik, Didi, 22, dan Bobo, 18, masing-masing bermain gitar dan bass.

Kesemua mereka juga masih mengikuti pengajian dalam bidang muzik di Aswara, kecuali Didi yang mengambil jurusan automotif di sebuah kolej tempatan. Bobo yang baru menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia juga akan meneruskan pengajian asasinya di Aswara.

Diterbitkan oleh Kusham, EP keluaran syarikat rakaman One Scream Studio itu memuatkan lima lagu, iaitu Mengintai Rahsia, Menunggu dan Resolusi, selain Ketagih (Extended Version). Cherry On Top merupakan artis pertama One Scream Studio yang diasaskan oleh Kusham dan Zaira Aziz.

Kesediaan Syafinaz untuk berkolaborasi jelas bermakna, terutamanya buat Holy atau nama sebenarnya, Adriana Audrey Michael. Dia malah terpaksa mencubit lengannya untuk memastikan bahawa dia tidak bermimpi.

“Semasa kecil, saya begitu mengagumi Datuk Syafinaz, terutama apabila beliau membuat ulasan dalam perjurian,” kata gadis kelahiran Papar, Sabah, ini mengimbas kenangan di dalam satu pertandingan nyanyian. “Saya berangan alangkah seronoknya kalau dapat berjumpa.

“Tapi dapat menyanyi, merakam lagu sama? Saya hilang kata-kata. Kepercayaan ini adalah penghormatan terbesar ketika band ini, dan kami semua bukannya siapa-siapa pun.”

Ketagih, sebagai sebuah album jelas memperlihatkan keupayaan luar biasa Cherry On Top sebagai pemuzik.

Rock, menurut Kuzan, menjadi asas kepada personaliti band, diadun dengan kecenderungan mereka yang meliputi daripada pop, fusion, malah Rhythm & Blues sebelum sama-sama menemukan titik persamaan, iaitu rock progresif.

Ini juga, akuinya, tanpa menafikan hakikat bagaimana band ini memberi makna baharu kepada bidalan “ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi” dengan hampir kesemua ahlinya merupakan penerus legasi keluarga.

Kuzan sendiri, misalnya mewarisi bakat bapanya, Raja Sham, Pengarah Muzik terkenal yang juga seorang gitaris, komposer, penyusun dan programmer muzik, selain menjadi Pemuzik Kanan, Orkestra RTM. Ibunya, Zaira Aziz adalah guru vokal (Muzik) dan sering mengiringi persembahan penyanyi terkenal, selain mahir bermain flute dan turut menghasilkan lirik lagu.

Juga Osama yang lebih dulu mencipta nama sebaga penyanyi, pemain gitar dan pelakon sejak diperkenalkan bapanya, penyanyi legenda, Dato Jamal Abdillah, mahu pun Ayen yang diinspirasi bapanya, Black, iaitu pemain dram band rock popular, Wings.

Atau, bagaimana studio muzik menjadi sekolah pertama Didi dan Bobo kerana penglibatan bapa dalam industri rock, termasuk menguruskan band seperti DEF-GAB-C dulu. Seperti juga Holy yang dibesarkan dalam keluarga yang bergelumang dengan muzik.

Justeru, kombinasi pelbagai genre yang menjadi kecenderungan dan legasi sebagai amanah yang perlu digalas, jelas Kuzan lagi, telah membawa kepada nama Cherry On Top sebagai pengenalan.

“Ditubuhkan asalnya dengan nama Rock Ages, nama itu dirasakan tidak begitu komersial untuk dibawa menerobosi pasaran. Sedang tercari-cari nama yang sedap didengar, sesuai dengan prinsip, divisualkan pula dengan kehadiran Holy sebagai vokalis dan satu-satunya wanita dalam kalangan kami, lelaki, maka lahirlah Cherry On Top,” katanya.

Cenderung kepada penulisan lagu, jelas Kuzan yang meminati nyanyian sejak kecil, dan kini membuat pengkhususan pengajian dalam penggubahan, menyedari kedudukan dimiliki orang tua atau keluarga dalam seni tidak bermakna segalanya mudah buat mereka.

“Ada baik dan buruknya apabila ada orang tua terkenal ini,” kata Kuzan, dan diakui Ayen atau nama sebenarnya, Muhammad Khairin Azmi, “Sebagai tarikan, ya. Tapi tinggi jugalah jangkaan, adakah anak-anak sehebat orang tuanya. Kena usahalah dan jadi sebaik mungkin.”

Osama yang juga anak sulung Jamal, mengakui bapanya yang membuka ruang kepadanya dalam seni.

“Cuma setakat itulah, selebihnya kata ayah, pandai-pandailah. Ertinya, band ini berdiri bukan sebab aku anak siapa, kau anak siapa. Tapi kerana sama minat dan perjuangan telah mempertemukan kami, dan ditakdirkan bapa, keluarga kami adalah somebody,” kata pemilik nama sebenar, Yamani Abdillah ini.

Didi, gelaran bagi Muhammad Danish Danial, kala menjelaskan mengapa Cherry On Top tidak boleh diperkecilkan, berkata, “Kerana kami akan memperdengarkan nafas baharu, daripada segi susunan muziknya, melodinya. Ketagih berbaloi untuk dihasilkan dan didengarkan.”

Sehebat Bobo atau Muhammad Danish Ashraf yang memberikan sentuhannya dalam banyak rakaman lagu, daripada penyanyi sebesar Datuk Siti Nurhaliza ke Ezad Lazim dan Zamani Slam seawal usia 10 tahun, semua itu menjadi rencah yang tanpa sangsi lagi mengesahkan mengapa Cherry On Top bakal mencetuskan angin perubahan yang luar biasa.

EP Ketagih kini boleh didengari di semua platform digital, selain dalam bentuk fizikal yang terhad dan akan dilancarkan kelak. Cherry On Top boleh diikuti di FB, selain IG menerusi cherryontop_band atau ikuti juga Once Scream Studio di FB dan Tik Tok untuk info.