Converse MY memperkasa seniman muda

Kerjasama Tiga-Hala Membantu Seni Kreatif Tempatan Menembusi Ruang Komersil

KUALA LUMPUR – Acara pelancaran Creative Exploration, sebuah aktivasi jenama untuk Converse MY di bawah kempen LOVE, CHUCK sedunia, telah berlangsung dengan jayanya pada 28 Februari yang lalu. Majlis ini dirasmikan oleh YBhg. Datuk Seri Shamsul Iskandar, Setiausaha Politik Kanan YAB Perdana Menteri Malaysia.

Aktivasi ini merupakan kerjasama erat antara Converse MY, Balai Seni Negara, serta dua institusi pengajian tinggi utama dalam seni kreatif, iaitu Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Malaysian Institute of Art (MIA). Inisiatif ini bertujuan membina platform mampan untuk memperkukuhkan seni kreatif tempatan, sekali gus mengangkat bakat muda dalam industri seni visual dan fesyen komersil.

LOVE, CHUCK merupakan kempen berterusan Converse yang bertujuan merapatkan jurang antara jenama dan budaya di seluruh dunia. Di Malaysia, Creative Exploration menjadi salah satu usaha utama Converse MY bagi tahun 2025, menonjolkan semangat kemandirian dan pembangunan seni akar umbi.

Dalam aktivasi ini, pelajar-pelajar terpilih dari UiTM dan MIA menghasilkan karya seni menggunakan kasut Chuck Taylor sebagai medium utama. Karya-karya tersebut dipamerkan di Art Depot, Balai Seni Negara bermula 28 Februari hingga 12 April. Selepas itu, beberapa karya terpilih akan diperagakan di butik utama Converse di sekitar Lembah Klang, memberikan pendedahan yang lebih meluas kepada hasil kreativiti mereka.

Selain memberi peluang kepada pelajar untuk meneroka aplikasi seni dalam fesyen komersil, projek ini juga memperkukuhkan peranan Balai Seni Negara sebagai pusat seni visual utama negara. Dalam masa yang sama, ia turut mempromosikan UiTM dan MIA sebagai institusi seni yang melahirkan bakat kreatif berkualiti tinggi, sejajar dengan keperluan industri seni kontemporari.

Dr. Shaliza binti Mohd Shariff, Ketua Pengajian Seni Reka dari Kolej Pengajian Seni Kreatif UiTM, menyatakan rasa bangga atas kejayaan kerjasama ini. “Creative Exploration ini adalah satu contoh kegiatan yang kami raikan. Ia adalah satu peluang unik bagi pelajar-pelajar kami mengembangkan bakat mereka. Kami berharap kerjasama ini akan berterusan dan melahirkan lebih banyak platform untuk perkembangan seni kreatif tempatan,” katanya.

Pelancaran Creative Exploration ini bukan sekadar satu acara, tetapi satu langkah besar ke arah memperkukuhkan jalinan antara jenama, institusi akademik, dan komuniti seni tempatan. Dengan usaha yang berterusan, inisiatif ini diharap dapat membuka lebih banyak peluang kepada generasi baharu dalam industri seni kreatif Malaysia.