DAESUNG Sentuh Jiwa Peminat di Malaysia

GENTING HIGHLANDS – Kembalinya vokalis ikonik K-POP, DAESUNG dari kumpulan legenda BIGBANG, ke pentas Malaysia setelah sekian lama menjadi detik bersejarah yang sukar dilupakan. Muncul sebagai artis solo menerusi jelajah Asia “D’s WAVE” 2025, DAESUNG berjaya menghidupkan semula hubungan mendalam bersama peminat dalam sebuah konsert penuh emosi di Arena of Stars, Resorts World Genting pada 7 Jun yang lalu.

Sorakan luar biasa bergema seawal sebelum konsert bermula, dengan ribuan peminat memenuhi ruang dewan. Apabila tirai dibuka dengan lagu pembukaan “Universe”, suasana berubah menjadi magis — disambut dengan nyanyian beramai-ramai yang jelas menyentuh hati penyanyi tersebut.

Dengan aura mesra dan jenaka spontan, DAESUNG mencuri hati peminat apabila mengungkap beberapa frasa dalam Bahasa Melayu secara fasih seperti, “Terima kasih! Dah makan? Memang mantap! Sayang kau orang!” Malah, suasana menjadi lebih hangat apabila beliau secara bersahaja menanggalkan jaket di atas pentas, disambut dengan sorakan gemuruh.

Dikenali dengan vokal mantap dan persembahan yang bertenaga, DAESUNG mempersembahkan hampir 18 lagu tanpa banyak rehat. Antara detik paling dinanti adalah persembahan “Last Girl” bersama rapper Korea Han Yo Han yang disampaikan secara maya dengan iringan visual LED, serta lagu Jepun yang diselitkan dengan sari kata Bahasa Inggeris sebagai tanda keprihatinan buat penonton.

“Tak mengapa jika anda tidak faham liriknya. Muzik tiada sempadan. Jika anda dapat merasai emosi itu, itu sudah memadai,” ujar beliau sambil tersenyum.

Ketika lagu “Lights” dimainkan, ribuan telefon bimbit dinyalakan, mewujudkan panorama lautan cahaya yang memukau dan menyentuh perasaan – satu simbol sokongan tidak berbelah bahagi daripada peminat.

DAESUNG turut berkongsi detik peribadi apabila membaca sepucuk surat tulisan tangan dalam Bahasa Korea sebagai penghargaan kepada peminat yang sentiasa setia menyokongnya:

“Terima kasih kerana sentiasa menyokong saya. Kerana anda semua, saya dapat memulakan perjalanan baharu, melancarkan album saya, dan kembali ke pentas. Terima kasih kerana mempercayai saya.”

Segmen encore menjadi kemuncak apabila DAESUNG menghadiahkan peminat dengan deretan lagu hits BIGBANG seperti “Fantastic Baby”, “Bang Bang Bang”, “We Like 2 Party”, dan lagu solonya “Look At Me, Gwisun”. Keghairahan penonton memaksa DAESUNG kembali ke pentas sekali lagi bagi menyampaikan lagu tambahan sebagai penghargaan atas sambutan hangat yang diterima.

Konsert diakhiri dengan ungkapan penuh makna:

“Selagi anda memanggil saya, saya akan sentiasa berada di sini.”

Konsert “D’s WAVE” 2025 di Malaysia bukan sekadar persembahan muzik—ia menjadi lambang ikatan erat antara DAESUNG dan para peminatnya, disulam emosi, keikhlasan, dan semangat yang tak pernah luntur.

Konsert ini dianjurkan oleh I Am Trendsetter bersama Dream Factory Entertainment sebagai penganjur bersama.