January 14, 2025

PETALING JAYA, 9 Januari 2025 – Majlis pelancaran OST, trailer, dan di sebalik tabir filem Dajal (Satu Malam di Pedajal) berlangsung dengan penuh meriah semalam. Acara ini dihadiri oleh barisan pelakon filem, rakan media, blogger, influencer, dan para tetamu jemputan.

Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan persembahan langsung lagu tema (OST) bertajuk Di Kala Malam oleh penyanyi terkenal Zynnakal. Para tetamu juga berpeluang menyaksikan tayangan perdana lirik video, trailer khas, dan segmen eksklusif di sebalik tabir filem ini, menjadikan acara ini pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

Zynnakal Fokus Sampaikan Emosi Dalam OST

Lagu Di Kala Malam merupakan kerjasama pertama antara Metrowealth International Group (MIG) dan Zynnakal. Menurut Zynnakal, proses mencipta lagu ini menjadi pengalaman unik buat dirinya.

“Ini pertama kali saya hasilkan lagu berunsur ‘hantu’. Sepanjang proses pembikinan, saya betul-betul fokus untuk menyampaikan rasa ketakutan. Saya rakam dan tulis lagu ini seorang diri untuk memastikan emosi itu sampai dengan mendalam. Alhamdulillah, tim MIG terima baik karya saya ini, dan malam ini adalah bukti kerjasama kami yang berjaya,” katanya.

Zynnakal

Filem Thriller Baharu Arahan Pierre Andre

Filem Dajal (Satu Malam di Pedajal) diarahkan oleh Pierre Andre dan diterbitkan oleh David Teo. Filem bergenre thriller ini dikatakan membawa elemen segar dalam dunia perfileman tempatan.

“Ini adalah karya 100% tulisan Pierre Andre. Genre thriller merupakan sesuatu yang baharu untuk Metrowealth, dan saya percaya filem ini akan memberi pengalaman tontonan yang berbeza kepada penonton,” kata David Teo.

David Teo

David turut menjelaskan bahawa filem ini tidak menggunakan teknik CGI (Computer-Generated Imagery) bagi mengekalkan elemen realisme.

“Kami kurangkan penggunaan CGI kerana bimbang ia kelihatan tidak realistik. Ini juga bagi memastikan konsep asal filem ini lebih natural seperti yang diinginkan oleh Pierre Andre,” tambahnya.

Barisan Pelakon Mantap

Dajal (Satu Malam di Pedajal) menampilkan Amir Nafis sebagai watak utama, di samping pelakon-pelakon terkenal seperti Khatijah Tan, Jay Iswazir, Jaja Iliyes, Dai Syed, dan Hanna Halim. Turut membintangi filem ini adalah pempengaruh terkenal, Bidin Al Zaifa.

Amir Nafis

Amir Nafis meluahkan rasa syukur atas peluang yang diberikan.

“Terima kasih kepada David Teo kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk watak utama. Saya telah memberikan 200% komitmen untuk filem ini dan berharap penonton dapat merasai kesungguhan kami semua,” katanya.

Sementara itu, pelakon Jay Iswazir berkata filem ini menyajikan kelainan dengan menonjolkan elemen-elemen budaya Malaysia.

“Kami tidak bergantung pada teknik CGI yang moden, tetapi menyuntik elemen Malaysia untuk membawa filem ini ke peringkat antarabangsa,” ujarnya.

Jay Iswazir

Plot & Tarikh Tayangan

Filem ini mengisahkan dua pekerja pembersihan trauma yang terperangkap secara mistik di sebuah banglo apabila salah seorang daripada mereka membaca sebuah buku ritual lama semasa menjalankan tugas.

Dajal (Satu Malam di Pedajal) bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara pada 6 Februari 2025.

Dalam perkembangan lain, sebuah filem baharu terbitan Laku Pictures dengan edaran oleh Metrowealth dijangka ditayangkan pada pertengahan tahun ini.