KUALA LUMPUR – kumpulan rock Damasutra yang terkenal dengan lagu ‘Umpama Mimpi Dalam Mimpi’ telah menyambut ulang tahun sempena penubuhan kumpulan itu pada 27 Oktober lalu bertempat di Zepp Kuala Lumpur bagi menghargai peminatnya yang sentiasa mendukung perjalanan seni serta penghasilan karya-karya bermutu Damasutra.
Ultimate Media Selaku penganjur Konsert Ulang Tahun Ke-33 Damasutra begitu positif dengan kemampuan yang ditonjolkan oleh anggota Damasutra meskipun sekian lama menyepi dalam industri muzik. Bagaikan seumpama mimpi dalam mimpi apabila lebih 1,000 peminat setia hadir menyaksikan sebuah persembahan ‘comeback’ dalam meraikan ulang tahunnya yang ke-33 itu. sinonim dengan bait-bait lirik hits paling popular mereka ‘terasa hilang rindu dan pulih semangat kasih mesra’ antara peminat dan Damasutra pada malam itu.
Malam itu Damasutra tidak bersendirian, D’Ultimate 6 sebuah band projek yang begitu kuat dengan nama-nama besar seperti Belle Fatah (kibod), Eddie CRK (bass), Paie Sembah Bumi (dram), Omar Akira (gitar) dan Uchop Ahmad (vokal) diberi penghargaan untuk membuka tirai pentas menerusi lagu “Seruan” yang dipopularkan oleh kumpulan Lefthanded bagi menghangatkan lagi suasana malam konsert tersebut. Turut dilihat beraksi di samping mereka ialah Alif Putra yang berasal dari negara jiran Malaysia yang telah mendapat jolokon ‘Steve Vai Singapura’ mengisi slot di posisi gitar.
D’Ultimate 6 menggunakan sepenuhnya peluang yang diberi dengan melepaskan ‘geram’ menerusi lagu “Tamingsari”, “Pelesit Kota” dan “Jerangkung Dalam Almari” dengan aksi yang cukup bertenaga. Uchop selaku frontman acapkali mengucapkan terima kasih kepada band Wings yang turut turun padang memberikan sokongan padu buat D’Ultimate 6 dan Damasutra sebelum berkumandangnya lagu “Taman Rashidah Utama”. Sebaik sahaja nada lagu “Gugurnya Bunga Cinta” dipetik oleh Omar Akira, hadirin bersorak gamat disahut nada “For The Love of God” petikan Steve Vai Singapura, si Alif Putra berselang-seli melodinya. Kreatif dan cukup menghiburkan.
Seusai persembahan D’Ultimate 6, tiba giliran Damasutra menjajahi pentas. Masing-masing muncul memakai topeng muka sebagai gimik. Malam bermula dengan lagu “Sembunyi” sebagai mukadimah. Diikuti rapat dengan sebuah lagi lagu rancak “Selamba”. Baggio selaku teraju utama memperkenalkan line-up asal Damasutra iaitu Amran (bass) dan Assu (dram) sambil dibantu gitaris terbaru mereka, Rizal yang menggantikan Allahyarham Alok. Untuk makluman, Allahyarham Alok meninggal dunia pada 30 Oktober 2019 pada usia 55 tahun kerana batuk berdarah.
Memperlengkapkan lagi barisan muzik mereka ialah Nicole (kibod) dan John Boy (gitar). Mengimbas kenangan menerusi lagu-lagu wajib seperti “Antara Sutra dan Bulan”, “Sufi”, “Asyik” “Seribu Bayangan” dan “Sesat Dalam Rindu”, peminat yang hadir bernyanyi seiringan membuai malam dengan sejuta memori indah buat peminat yang membesar dengan lagu-lagu mereka. Cukup terhibur dan sing-along. Antara artis yang turut kelihatan memberi sokongan pada malam itu selain Wings ialah Joey BPR dan Jojet Gersang.
Damasutra yang terkenal dengan lagu-lagu slow ballad bagaimanapun membuat penonton terdiam apabila Baggio mengalunkan lagu-lagu yang tersenarai dalam fast number mereka seperti “Sembrono”, “Igauan Kota”, “Mental of Retaro Kroniko”, “Kamasutra” dan “Aku dan Zen” dengan begitu bertenaga. Slot konsert turut diselitkan dengan dram solo dari Assu dan gitar solo berselang-seli dari Rizal, John Boy dan Nicole.
Walaupun setiap genap ruangan dewan konsert Zepp Kuala Lumpur tidak dipenuhi penonton, namun Baggio selaku vokalis utama Damasutra meluahkan rasa syukur dan berterima kasih kepada peminat setia yang hadir ke konsert Ulang Tahun Damasutra Ke-33 ini.
“Inilah rezeki kami. Bersempena dengan 33 tahun Anniversary Damasutra. Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada anda semua kerana anda adalah merupakan tulang belakang kepada kami.” Ujar Baggio.
Meneruskan persembahan, lagu “Impianku” dibawa dan Baggio seterusnya memberitahu kepada penonton, “Terima kasih kepada semua, anda telah menyumbang derma kepada Palestin di atas sebahagian penjualan tiket konsert kami ini. Alhamdulillah, ada rezeki kami malam ini.” Ujar Baggio dalam nada terharu.
Bendera Palestin dilihat berkibar pada skrin layar lebar, sesuai dengan senikata lagu yang puitis “Kita semua sama sahaja di sisi Tuhan yang Maha Esa, dan darah kita semuanya merah biarpun kulit berlainan warna. Marilah bersama menuju ke jalan Nya” dendang Baggio penuh emosi sebelum menyambung “Airmata dapat dilihat, tangisan hati hanya Tuhan yang tahu. Bersama kita saling menyayang, Semoga hidup berbahagia.” Tatacahaya yang berwarna hijau, merah dan putih menghiasi pentas melambangkan warna bendera Palestin.
Sementara itu, 10% dari hasil penjualan tiket konsert akan disumbangkan ke Tabung Kecemasan Palestin di bawah kelolaan Malaysian Relief Agency (MRA).
Sebanyak 15 buah lagu dihidangkan oleh Damasutra malam itu yang menjadi sajian halwa telinga penonton. Tidak lengkap sekiranya menu wajib tidak disajikan. Semua hadirin tidak berganjak. Akhirnya “Umpama Mimpi Dalam Mimpi” dipersembahkan melengkapkan menu yang paling lazat pada malam itu. Lagu malar segar ini memang sentiasa dihati. Sememangnya menggamit nostalgia, hadirin bersorak dan tepukan gemuruh bergema.
Bagaikan mimpi berakhirlah konsert meraikan perjalanan 33 tahun Damasutra yang meningkat usia kematangan. Tahniah Damasutra, semoga terus berkarya dan menghasilkan lebih banyak lagu-lagu baru yang relevan dengan generasi kini. Tahniah Ultimate Media atas usaha dan inisiatif positif yang harus dipuji.