Dapur Panas Digital: Usahawan wanita B40 diperkasa melalui keusahawanan makanan

KUALA LUMPUR, 15 Mac 2025 – TV3 dengan kolaborasi Pepper Labs serta sokongan penuh daripada F&N sebagai penaja utama mempersembahkan Dapur Panas Digital, sebuah inisiatif bermakna yang bertujuan memperkasakan usahawan wanita dari komuniti B40. Program ini bukan sahaja membuka peluang keusahawanan kepada wanita di Projek Perumahan Rakyat (PPR) tetapi juga mengangkat masakan Malaysia dengan penggunaan produk F&N sebagai bahan utama.

Sebagai program keusahawanan sosial, Dapur Panas Digital menyediakan dapur lengkap bagi membolehkan usahawan PPR mengembangkan perniagaan makanan mereka. Program ini turut menawarkan latihan memasak profesional, kemahiran pengurusan perniagaan serta pensijilan untuk membolehkan peserta menjual makanan mereka secara digital. Lima dapur digital telah didirikan di sekitar Kuala Lumpur, iaitu di PPR Kerinchi, PPR Kg Limau, PPR Wangsa Sari, PPR Setapak Jaya, dan PPR Intan Baiduri.

Kempen Ramadan: Meraikan Usahawan di Bazaar Ramadan

Sempena bulan Ramadan, TV3 dan Pepper Labs bersama penaja utama F&N telah merangka kempen Dapur Panas Digital, melibatkan usahawan PPR dalam Bazaar Ramadan di Kuala Lumpur. Mereka berpeluang menjual hidangan istimewa yang dihasilkan menggunakan F&N Krimer Manis dengan Kalsium dan F&N Krimer Sejat dengan Susu Sejat Penuh Krim Ideal. Sebagai minuman rasmi kempen, 100PLUS ACTIVE dan 100PLUS ZERO turut ditampilkan sebagai pelengkap pengalaman berbuka puasa yang menyegarkan.

Bagi mengukuhkan kesedaran masyarakat, selebriti dan personaliti TV3 turut serta dalam aktiviti bazar Ramadan bagi memberikan sokongan kepada usahawan wanita PPR. Selain itu, pelanggan yang membeli hidangan daripada usahawan PPR akan mendapat set berbuka puasa eksklusif yang merangkumi hidangan istimewa dan minuman 100PLUS ACTIVE dan 100PLUS ZERO dengan harga RM10 – RM12 sahaja.

Antara selebriti TV3 yang telah turun padang di gerai Dapur Panas Digital termasuklah Fiza Sabjahan, Rena Hazrena, dan Fatin Hamimah. Beberapa lagi selebriti TV3 bakal membuat kemunculan di lokasi berikut:

  • 16 Mac 2025, Ahad – Bazaar Ramadan Kg Baru, Jalan Raja Uda bersama Fiza Sabjahan dan Nurin Razmyn.
  • 17 Mac 2025, Isnin – Bazaar Ramadan Jalan Tetawi, Bangsar Baru bersama Fatin Hamimah dan Fariha Onn.

Siri Digital Eksklusif & Segmen Khas TV3

Sebagai tambahan, program ini turut memperkenalkan Siri Digital Eksklusif, iaitu siri lapan episod berdurasi satu minit yang menampilkan perjalanan inspirasi para usahawan dari proses penyediaan bahan hingga kejayaan mereka menjual makanan di bazar Ramadan. Siri ini akan disiarkan di platform media sosial TV3 pada 19-21 Mac dan 26-28 Mac 2025.

Selain itu, kempen ini akan diteruskan dengan Segmen Khas di rancangan Wanita Hari Ini, yang akan mengupas impak program serta kejayaan usahawan PPR selepas Ramadan.

Dapur Panas Digital: Satu Gerakan Transformasi

Dapur Panas Digital bukan sekadar program Ramadan, tetapi sebuah gerakan untuk memperkasa wanita, menyokong perniagaan tempatan, dan membawa hidangan berkualiti kepada rakyat Malaysia. Program ini membuka peluang kepada usahawan wanita B40 untuk berdikari serta menjana pendapatan yang lebih mampan melalui keusahawanan makanan.