Dasha hidupkan semula sentuhan Alleycats dalam EP baharu

KUALA LUMPUR – Penyanyi dan penulis lagu berbakat, Dasha, kini mencipta sejarah dalam dunia seni muzik tempatan dengan pelancaran EP terbaharunya bertajuk Legasi. Baru- baru ini majlis pelancaran berlangsung meriah di VOX KL dan disaksikan oleh penggiat seni, wakil media, dan peminat setia.

EP Legasi, yang kini tersedia di semua platform penstriman utama, membawa nuansa peribadi yang mendalam. Projek ini menampilkan kolaborasi eksklusif bersama bapa saudaranya, legenda muzik Malaysia, Dato’ David Arumugam dari kumpulan ikonik Alleycats. Dengan sentuhan kreatif penerbit Rozhan Razman serta susunan muzik oleh Melina Williams, Legasi menonjolkan lima buah lagu yang memukau hati:

1. Jika Kau Bercinta Lagi (lengkap dengan video muzik eksklusif)

2. Senandung Semalam

3. Seribu Bintang

4. Andainya Aku Pergi Dulu Sebelummu

5. Sampaikanlah Salam

Dalam sidang media, Dasha berkongsi bahawa Legasi merupakan penghormatan kepada perjalanan seni dan warisan muzik keluarganya.

“Projek ini adalah lambang cinta kepada keluarga, khususnya kepada mendiang ayah saya, Dato’ Loganathan Arumugam. Andainya Aku Pergi Dulu Sebelummu adalah lagu yang sangat emosional buat saya kerana ia membawa kehadiran arwah ayah kembali dalam ingatan saya,” katanya.

Menurut Dasha, pemilihan lagu dalam EP ini bertujuan untuk menghidupkan kembali karya-karya indah yang kurang mendapat perhatian daripada katalog Alleycats.

“Lagu-lagu seperti Cahaya Keinsafan dan Dengar Lihat Fikir adalah antara permata tersembunyi yang saya harap dapat perkenalkan semula kepada generasi baru,” ujarnya.

Video muzik lagu utama, Jika Kau Bercinta Lagi, telah ditayangkan buat pertama kali semasa majlis pelancaran. Dasha turut membuat persembahan langsung lagu-lagu dari EP ini, memberikan pengalaman mendalam kepada para hadirin.

Dato’ David Arumugam turut melahirkan rasa bangganya terhadap anak saudaranya itu.

“Dasha benar-benar meletakkan jiwa dan perasaannya ke dalam projek ini. Saya sangat kagum dengan caranya memberi nafas baru kepada lagu-lagu ini,” katanya.

Ketika ditanya tentang perancangan masa depan Alleycats, beliau menjelaskan bahawa tiada perancangan untuk album baru buat masa ini.

Pelancaran EP Legasi ini turut mendapat sokongan daripada MyCreative Ventures Sdn Bhd, sebuah organisasi yang sentiasa menyokong bakat-bakat seni tempatan.

Dasha mengakhiri majlis dengan ucapan penghargaan kepada semua yang menyokong projek ini, dengan harapan karya ini akan terus menghidupkan legasi Alleycats dan memberi inspirasi kepada generasi akan datang.

Untuk menonton video muzik Jika Kau Bercinta Lagi, kunjungi saluran rasmi YouTube Dasha.