PUTRAJAYA – Selepas kejayaan Konsert Wings The Rock Emperor, Dato’ Awie melahirkan rasa teruja untuk membuat persembahan solo dengan Konsert Dato’ Awie, Journey.
Konsert yang bakal berlangsung di 2 lokasi iaitu di Star Theatre, Singapore pada 27 Julai 2024 dan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Kuala Lumpur (WTCKL) pada 3 Ogos 2024. Ini bertitik tolak daripada maklum balas yang diterima sepanjang berlangsungnya Konsert The Rock Emperor yang rata-rata merindukan persembahan solo Dato’ Awie.
Pengumuman Konsert Dato’ Awie, Journey yang akan dianjurkan oleh Truepixel Sdn Bhd dengan kerjasama Rumah Produksi Merah dibuat ketika berlangsungnya Majlis Berbuka Puasa Bersama Rumah Produksi Merah yang telah diadakan di sebuah kafe di Putrajaya sempena meraikan rakan-rakan media yang telah banyak memberi sokongan sepanjang penganjuran Konsert The Rock Emperor: Kuala Lumpur Chapter di Stadium Melawati, Shah Alam pada 16 Disember 2023 dan Wings The Rock Emperor: Penang Chapter di Spice Arena, Penang pada 24 Februari 2024 yang lalu.
Menurut Dato’ Awie, “Konsert Dato’ Awie, Journey ini merupakan suatu bingkisan yang begitu personal dari saya. Perjalanan selama 30 tahun sebagai anak seni, jatuh bangun dalam industri, bakal saya susun dan kisahkan untuk tatapan semua peminat saya dalam sebuah persembahan selama 2 jam. Ini adalah persembahan solo terakhir saya. Jadi, saya berharap peminat tidak akan lepaskan peluang untuk meluangkan masa berkongsi malam istimewa tersebut bersama saya kerana hanya yang terbaik yang saya janjikan untuk malam tersebut.”
Manakala Ketua Pegawai Eksekutif TruePixel Sdn Bhd, Samsul Kamal berkata, “Pra-pendaftaran untuk konsert ini akan dibuka pada 1 Mei 2024. Manakala penjualan tiket akan bermula pada 15 Mei 2024. Tiket Konsert Dato’ Awie, Journey boleh didapati melalui laman web www.pixeltix.com.my dan diskaun istimewa akan diberikan kepada pendaftar terawal.”
Tambah beliau lagi, “Sidang media rasmi berkenaan Konsert Dato’ Awie, Journey akan diadakan dalam masa terdekat. Maklumat mengenai harga tiket, konsep dan pemilihan lagu akan turut dikongsi ketika sesi tersebut.”
Seramai 30 orang anak-anak dari Rumah Kebajikan An-Naafi turut diundang ke majlis berbuka puasa tersebut. Dato’ Awie dan Eddy Amir Salim turut mengambil peluang untuk menyampaikan sumbangan kepada semua tetamu istimewa termasuk artis veteren Isma Aliff serta balu Allahyarham Yazid Search, Ramlah Ahmad. Manakala, beberapa artis tanah air turut dijemput bagi memeriahkan majlis.