KUALA LUMPUR – Konsert TRIAD, yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 14 Februari 2025, menjanjikan pengalaman muzik yang luar biasa dan bersejarah. Buat pertama kalinya dalam sejarah muzik Malaysia, seorang penyanyi utama, lagenda rock tanah air Dato’ Awie, akan mengemudi Wings, Search Kid Din, dan Dragon Malaya di satu pentas secara serentak.
Ironinya, meskipun kedengaran ‘janggal’, idea ini digambarkan sebagai sebuah percaturan ‘gila’ tetapi berani oleh Rumah Produksi Merah milik Dato’ Awie. Menyatukan tiga kumpulan besar dalam satu persembahan bukan sahaja mencabar keupayaan vokal dan stamina beliau tetapi juga bakal mencipta fenomena tersendiri.
“Gabungan tiga kumpulan – Wings, Search Kid Din, dan Dragon Malaya – di atas satu pentas dengan seorang vokalis adalah idea ‘gila’ yang rasanya belum pernah dibuat orang,” ujar Dato’ Awie sewaktu sidang media Konsert TRIAD di Maristar, Bukit Bintang, pada 17 Disember 2024.
Idea Lama, Impian Baru
Dato’ Awie mendedahkan bahawa idea untuk TRIAD telah lama difikirkan, bermula dari sesi latihan konsert seperti Apologia (2020), Bikin Wilayah (2021), dan Cinta Buatan Malaysia (2020). Namun, semua itu tidak dapat direalisasikan atas pelbagai kekangan.
“Ketika tempoh PKP, saya mula memikirkan langkah baru untuk mewarnai industri. TRIAD adalah tentang penyatuan – menyatukan bunyi, tenaga, jiwa, dan semangat rock sebenar. Ini bukan sekadar konsert, tetapi satu malam yang akan mencipta sejarah dan memastikan semangat rock terus menyala,” tambah beliau.
Konsep Persembahan Berbeza
Konsert akan dimulakan dengan Wings, diikuti Dragon Malaya, dan diakhiri dengan Search Kid Din. Menariknya, setiap band tidak akan diperkenalkan di atas pentas, mencerminkan konsep kekeluargaan.
“Muzik tiga band akan menjadi satu. Kami hanya berhenti seketika untuk memperkenalkan lagu. Saya mahu peminat menikmati setiap warna dan rasa yang berbeza tanpa sebarang gangguan formaliti,” jelas Dato’ Awie.
Konsert Bersejarah dan Gabungan Epik
TRIAD bakal menyaksikan persembahan bertenaga dengan gabungan lagu-lagu hits daripada setiap kumpulan. Dato’ Awie menjelaskan bahawa setiap kumpulan telah memilih lagu terbaik mereka. Wings akan menyampaikan rangkaian lagu-lagu hits dari era keemasan mereka, manakala Dragon Malaya akan memukau dengan seleksi dari album Rentap seperti Kuda Tiga Kaki dan Bumi Kita Ada Naga. Search pula akan menutup malam penuh sejarah ini dengan lagu-lagu klasik seperti Cinta Buatan Malaysia, Balada Pemuzik Jalanan, dan Mentari Merah di Ufuk Timur.
“Kami mahu graf persembahan malam itu bertenaga, ada naik turun yang seimbang, dan paling penting, penonton dapat menyanyi bersama. TRIAD bukan sekadar konsert, tetapi satu malam untuk mencipta memori bersama peminat,” kata Dato’ Awie ketika ditemui.
Cabaran & Sokongan
Meskipun Dato’ Awie mengakui berdepan cabaran besar dari segi stamina dan persediaan, beliau tetap optimis.
“Saya memerlukan doa, fokus, dedikasi, dan komitmen penuh untuk memastikan kesihatan berada di tahap terbaik. Ini bukan sesuatu yang mudah, tetapi ia adalah rezeki yang ingin saya kongsi dengan rakan-rakan band yang pernah bersama dalam suka duka saya,” katanya.
Ahli-ahli Dragon Malaya turut menyatakan keterujaan mereka terhadap idea TRIAD. “Ketika Dato’ Awie merancang konsert ini, kami terkejut. Idea ini gila tetapi tidak mustahil. Kami tahu beliau seorang yang sangat komited dan sentiasa ingin memberikan yang terbaik,” ujar Eddie, bassis Dragon Malaya.
Sementara itu, Din dari Search Kid Din turut berkongsi perasaannya, “Pada mulanya, saya rasa agak berdebar. Ini adalah sesuatu yang tidak pernah dibuat orang – seorang penyanyi, tiga band. Malam itu nanti akan jadi marathon 30 buah lagu. Siapa yang terlepas memang rugi.”
Mencatat Rekod Baru
Konsert TRIAD dijangka mencatat nama dalam The Malaysian Book of Records sebagai acara pertama yang menampilkan seorang penyanyi utama bersama tiga kumpulan rock besar di atas pentas serentak. Pihak The Malaysian Book of Records turut akan hadir untuk menyaksikan pencapaian ini.
“Ini bukan konsert biasa. Ia perlu ada standard tertinggi. Saya mahu konsert ini dikenang sebagai satu momen gemilang dalam industri muzik tanah air,” tambahnya lagi.
Kesihatan dan Dedikasi
Dato’ Awie turut berkongsi cabaran dalam mempersiapkan diri untuk konsert ini, terutama dari aspek stamina dan kesihatan.
“Umur semakin meningkat, tapi semangat saya masih kuat. Saya sayangkan industri ini dan mahu memberikan yang terbaik untuk peminat,” ujarnya penuh semangat.
Maklumat Tiket dan Keistimewaan
Tiket untuk konsert TRIAD telah mula dijual sejak 7 Disember 2024 dan boleh didapati di laman web rpm.ubertickets.asia.
Kategori tiket adalah seperti berikut:
• Kategori 1 (standing): RM258
• Kategori 2 (standing): RM188
• Kategori 3 (numbered seating): RM788 (termasuk goodies)
• Kategori 4 (numbered seating): RM438
• VIP BOX: RM10,000 (termasuk sesi Meet & Greet, F&B Buffet, dan goodies).
Konsert TRIAD ini bukan sekadar malam nostalgia, tetapi juga sebuah penghormatan kepada peminat dan arena muzik rock tanah air. Jangan lepaskan peluang menyaksikan malam penuh sejarah ini, di mana tiga kumpulan rock gergasi bergabung tenaga di bawah satu bumbung!
Kredit foto: Papa Din