KUALA LUMPUR – Sudah menjayakan ribuan persembahan berskala besar dan kecil selama lebih 40 tahun dalam industri seni, Dato Jamal Abdillah membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk terus beraksi di pentas. Setiap pengalaman yang diperoleh sepanjang kariernya, dijadikan asas untuk mencipta persembahan yang lebih matang dan penuh bertenaga.
Kini, Dato Jamal akan kembali menghibur peminatnya melalui konsert berskala besar, “Konsert Dato Jamal Abdillah Sandarkan Pada Kenangan Mencari Azura”. Konsert ini dijadual berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 15 Februari 2025, anjuran Live Injection dan NJ Resources.
Memenuhi Panggung dengan Pesona dan Kenangan
Konsert ini merupakan persembahan solo perdana Dato Jamal untuk tahun 2025, satu pencapaian yang menegaskan lagi kedudukannya sebagai ikon dalam industri muzik tanah air. Membawa nama konsert dengan judul lagu ikoniknya, “Sandarkan Pada Kenangan” dan “Azura”, konsert ini dijangka akan memenuhi ruang Zepp Kuala Lumpur dengan peminat setia.
“Selaku penganjur, kami di Live Injection dan NJ Resources melihat kualiti dan jenama Dato Jamal Abdillah sebagai penghibur bersuara emas yang tidak pernah pudar,” ujar Edy J dari Live Injection.
“Dengan pengalaman, pesona, dan untaian lagu hit beliau sejak awal kerjaya, konsert ini akan membawa peminat mengimbau kenangan dan nostalgia yang mendalam,” tambahnya.
Dato Jamal Abdillah: Persembahan Terbaik adalah Tanggungjawab
Bagi Dato Jamal sendiri, meskipun telah ribuan kali beraksi di pentas, setiap persembahan tetap diberi perhatian penuh. Apalagi untuk konsert besar seperti ini, beliau menyatakan kesungguhannya dalam memastikan persembahan yang terbaik dan penuh makna buat peminat.
Perasaan berdebar akan selalu hadir namun ia ‘dibunuh’ dengan keterujaan yang besar buat Jamal Abdillah menyambut kehadiran peminat yang selama ini menjadi tulang belakang perjalanan kariernya sejak berabad lama.
“Setiap kali saya diundang untuk persembahan, tanggungjawabnya tetap berat, meski sudah berpengalaman,” kata Dato Jamal.
Menerusi lagu-lagu klasik seperti “Penghujung Rindu”, “Gadis Melayu”, “Kekasih Awal Dan Akhir”, “Sepi Seorang Perindu”, serta “Di Sudut Kamar Hatiku”, Dato Jamal yakin konsert ini akan menjadi magnet buat peminat setianya.
“Memang Konsert Dato Jamal Abdillah Sandarkan Pada Kenangan Mencari Azura akan menjadi siri persembahan skala besar dari saya sekali lagi sebagai penghibur namun peminat akan melihat dan menikmati rendisi lagu bersifat nostalgia yang disampaikan dalam suasana baharu.
“Harapan saya peminat yang tahu mengenai penganjuran Konsert Dato Jamal Abdillah Sandarkan Pada Kenangan Mencari Azura di Zepp Kuala Lumpur, 15 Februari 2025 datang beramai-ramai ke konsert ini.
“Kenapa kena hadir? Kerana ia akan menjadi sebuah kenangan terbaik yang akan diberi lalu dinikmati bersama-sama pada awal tahun 2025 nanti,” ujar Jamal Abdillah.
Tiket dan Maklumat Lanjut
Tiket konsert kini boleh didapati di platform TICKET2U.COM, dengan harga bermula dari RM 360 untuk kategori CAT 04 sehingga RM 7,500 untuk VIP BOX (8 orang). Peminat juga digalakkan untuk hadir berpakaian tema era 80-an bagi menghidupkan lagi suasana nostalgia.
Untuk maklumat lanjut mengenai Konsert Dato Jamal Abdillah Sandarkan Pada Kenangan Mencari Azura, sila layari laman web rasmi di www.live-injection.com atau email ke hello@live-injection.com.