SINGAPURA, 26 Mei 2025 – Penyanyi legenda tanah air, Dato’ Khadijah Ibrahim, atau lebih mesra disapa Ibu, telah mencuri perhatian ramai apabila hadir dalam satu majlis ramah mesra tertutup bersama lebih 100 peminat setianya di D’Banquet Hall, Aljunied Link semalam.
Majlis eksklusif ini bukan sekadar mempertemukan Ibu dengan peminat Singapura, malah menjadi pentas pelancaran rasmi produk terbaharu beliau – Sos Cili Ibu – buat julung kalinya diperkenalkan di republik ini.
“Sos ini saya hasilkan dengan penuh kasih sayang, diinspirasikan daripada selera saya yang sukakan pedas. Ia berbeza daripada sos cili biasa kerana ‘kick’-nya lebih terasa, sesuai untuk mereka yang benar-benar cintakan rasa pedas,” ujar Dato’ Khadijah dalam ucapannya.
Sos Cili Ibu merupakan inovasi terbaru di bawah jenama Khadijah’s Kitchen, yang sememangnya dikenali dengan sajian berasaskan resipi tradisional Melayu. Produk ini membawa misi untuk mengangkat kembali rasa asli masakan ibu-ibu terdahulu, kini dalam bentuk mudah dan moden.
Para hadirin turut diberi peluang mencuba pelbagai hidangan yang dipadankan dengan Sos Cili Ibu seperti nasi goreng, ayam panggang, kentang goreng dan keropok lekor. Sambutan hangat yang diterima di Singapura menunjukkan potensi besar produk ini untuk menembusi pasaran serantau.
Sos Cili Ibu kini boleh didapati secara rasmi di Yisun Halal Mart, Singapura. Pelancaran ini menandakan langkah strategik Dato’ Khadijah dalam mengembangkan empayar kulinarinya ke pasaran antarabangsa, sambil mengekalkan warisan rasa Malaysia yang autentik.
Untuk maklumat lanjut mengenai produk, orang ramai boleh melayari laman web rasmi di www.ibufood.com atau ikuti perkembangan terkini di media sosial Sos Ibu Official.