January 13, 2025

“Dayang berharap Belagu II akan terus mengingatkan kita semua untuk meraikan lagu-lagu klasik Melayu warisan kita demi generasi masa kini dan akan datang.” – Dayang Nurfaizah

KUALA LUMPUR: Penyanyi tersohor yang sudah meraih pelbagai anugerah, Dayang Nurfaizah atau mesra disapa Dayang sudah siap sedia untuk melancarkan album studio kesepuluhnya. Album ini juga merupakan sekuel kepada album ‘Belagu’ yang dilancarkan pada tahun 2021. ‘Belagu’ sebelum ini sudah mencipta kejayaan yang membanggakan bila mana ia meraih beberapa anugerah di Anugerah Industri Muzik tahun lalu.

Belagu: Satu Penghormatan

Membawa maksud ‘menyanyi’ dari dialek Melayu Sarawak, album Belagu disempurnakan dengan lapan trak klasik Melayu. Kesemua lagu tersebut dipersembahkan dengan cara Dayang yang tersendiri dalam nafas segar hasil susunan muzik dan terbitan produser disegani ramai, Aubrey Suwito. Menariknya, vokal dan muzik bagi album Belagu sebelum ini dirakamkan secara langsung yang mana Dayang diiringi oleh barisan pemuzik dibawah pimpinan Aubrey Suwito sendiri. Secara keseluruhannya Belagu mempersembahakan barisan lagu klasik dalam perspektif yang lebih segar. 

Sambutan yang diterima Belagu diluar jangka apabila album ini diraikan bukan sahaja oleh penggemar muzik di Malaysia malah Singapura dan Brunei. Tambah membanggakan album ini juga menerima pujian dari kalangan individu penting industri muzik sendiri termasuk media. 

Belagu menerima empat pencalonan di Anugerah Industri Muzik (AIM23) dan berjaya membawa pulang tiga trofi menerusi kategori Rakaman Lagu Terbaik dan Susunan Muzik Terbaik menerusi lagu ‘Tudung Periuk’ dan Rakaman Album Terbaik.

Kejayaan Belagu mendorong Dayang untuk menyajikan sesuatu yang lebih menarik dan berkualiti menerusi Belagu II. Album ini dibarisi sembilan buah lagu yang menjanjikan pengalaman muzik yang lebih mengasyikan buat pendengar. Kesemua lagu untuk Belagu II masih menerima sentuhan magis Aubrey Suwito baik dari segi susunan muzik mahu penerbitan album ini secara keseluruhannya.

Visi Belagu

Apabila ditanya tentang ilham atau konsep penghasilan Belagu, jelas Dayang, “matlamat utama Belagu dihasilkan adalah untuk memperkenalkan dan merapatkan generasi baharu dengan lagu-lagu klasik Melayu. Demi memastikan objektif ini terlaksana adalah penting untuk kualiti muzik yang dihasilkan seiring dengan kehendak dan selera pendengar hari ini. Atas penerimaan Belagu yang sangat positif, Dayang dan pasukan kerja Dayang sedar bahawa kami perlu lakukan sesuatu yang lebih besar untuk sajian kepada penggemar muzik.”

“Impian ini diterjemahkan menerusi Belagu II, satu produksi muzik yang sangat tinggi cita-cita dan harapannya, yang mahu membawa satu pengalaman menikmati muzik yang lebih mengasyikan. Impian ini akhirnya melahirkan sebuah album yang disempurnakan dengan pelbagai lagu klasik Melayu. Impian ini mencabar kami untuk bermain dengan imaginasi bagaimana sesebuah lagu klasik Melayu itu dipersembahkan di pentas dunia. Dan kerana itu jugalah mengapa kami mengambil keputusan untuk berkolaborasi dengan orkestra terkenal dunia, Budapest Scoring Orchestra (BSO). Kami percaya peminat Belagu II akan disajikan dengan pengalaman berhibur dengan lagu-lagu klasik kita dengan bunyi-bunyian yang lebih mewah,” tambah Dayang.

Produksi Muzik Bertaraf Dunia

Dengan harapan Belagu II akan menawarkan pengalaman muzik nan unik, Dayang terbang ke Budapest, Hungary pada September 2022 untuk merakamkan kesemua muzik bersama-sama BSO. Secara kebetulan, di saat album Belagu diiktiraf pencapaiannya di AIM23, Dayang juga sedang berada di Budapest menyaksikan sendiri momen keemasan- lagu-lagu klasik Melayu Belagu II dimain dan dirakamkan oleh 40 pemuzik (hari pertama) dan seramai 50 pemuzik (hari kedua) di bawah naungan maestro muzik Péter Illényi. Proses rakaman muzik ini dilangsungkan di Rottenbiller Hall, salah satu studio ikonik di Budapest.

Bálint Sapszon yang bertindak sebagai Penerbit Session sewaktu rakaman muzik orkestra berkata, “Ini merupakan kali pertama kami memain dan merakamkan muzik klasik Melayu, dan sememangnya kami bangga apabila menjadi pilihan pasukan kerja Dayang untuk mengiringi melodi yang sudah sedia indah. Kami berharap kolaborasi ini akan menjadi permulaan yang baik dan membuka banyak lagi peluang untuk kami bekerjasama dengan pemuzik Malaysia di masa hadapan.”

“Harus saya katakan lagu-lagu yang dirakamkan sungguh menarik. Saya berharap interpretasi kami ke atas lagu-lagu ini bertepatan dengan esen dan emosi lagunya,” jelas Péter Illényi yang bertanggungjawab mengemudi persembahan orkestra untuk album ini.

Aubrey yang memainkan peranan dalam menulis skor muzik untuk orkestra berkata, “bekerja dengan orkestra terkenal dunia seperti BSO adalah satu mimpi yang menjadi nyata. Sebelum terbang ke Budapest kami sudah menyiapkan rakaman vokal dan instrumen tambahan terlebih dahulu supaya apabila kami merakamkan muzik bersama BSO mereka sudah punya struktur lagu yang sudah ditetapkan. Terima kasih kepada BSO atas profesionalime mereka, kesemua muzik berjaya dirakamkan dengan sempurna dalam masa dua hari. Musicianship at its finest!”

“Saya gembira dapat bekerja dengan BSO untuk satu persembahan orkestra yang sangat cemerlang untuk lagu-lagu klasik Melayu, skil dan teknik yang tiada tolok bandingnya. Saya sangat teruja untuk berkongsi Belagu II dengan semua di luar sana. Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada semua di BSO yang mencurahkan bakat dan pengalaman mereka sepenuh hati untuk projek ini,” tambah Dayang.

BELAGU II: Kesinambungan Sebuah Penghormatan

Belagu II menjanjikan pengalaman muzik yang tiada tara menerusi produksi muzik unggul, lapan lagu klasik Melayu, disusun semula oleh penerbit muzik disegani ramai, Aubrey Suwito dan diiringi oleh pemuzik terkenal Malaysia dan BSO.

Sebagai hadiah buat peminat, album ini juga disempurnakan dengan satu lagu baharu, dicipta oleh Aubrey Suwito dan liriknya dinukilankan oleh Datuk Habsah Hassan. Berbicara tentang idea di sebalik trak pop klasik ‘Rindu Menyapa’ ini, Dayang berkata, “di awal perbincangan Belagu II, Dayang sudah terfikir alangkah baiknya jika kita masukkan satu lagu baharu. Dan   Aubrey berikan saya lagu ini untuk satu projek yang lain, Dayang rasa lagu ini sebenarnya cukup sesuai untuk Belagu II kerana ia punya elemen lagu klasik Melayu. Dayang tahu inilah lagu yang tepat sebagai hadiah untuk semua peminat.”

Aubrey yang sudah mengumpul lebih 30 tahun dalam industri pembikinan muzik berkata, “bagi saya menerbitkan Belagu II cabarannya sangat besar jika dilihat dari segi muziknya. Untuk menterjemahkan semula lagu klasik Melayu dalam bentuk persembahan orkestra simfoni bukan satu tugas yang mudah. Tetapi melihatkan hasilnya memberikan saya satu kepuasan berganda, sangat berbaloi dengan penat lelah sepanjang proses menyiapkannya. Saya mahu mengucapkan jutaan terima kasih kepada Dayang kerana sekali lagi mengundang saya untuk terlibat di dalam projek sekali seumur hidup ini.”

Berkongsi harapannya untuk naskhah ini Dayang berkata, “Dayang berharap album ini dapat meneruskan legasi dan warisan muzik kita dan diperturunkan kepada generai akan datang. Dengan kolaborasi kreatif bersama BSO, Belagu II menjanjikan satu keasyikan dan keindahan trasnformasi lagu klasik Melayu,” simpul Dayang.

Tentang Belagu II

Belagu II adalah sebuah album dengan 9 trak dan diterbitkan sendiri oleh syarikat milik Dayang Nurfaizah, DN & AD Entertainment Sdn Bhd dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Digital dan diedarkan oleh Universal Music Malaysia. Album versi digital telah berada di semua platform digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan Apple Music bermula hari ini 27 Januari 2023. Salinan cakera padat dan set eksklusif Belagu II boleh dimiliki secara pra-tempahan di https://dayangnurfaizah.com bermula dari 13 Januari yang lalu.

Dayang Nurfaizah – Nak Dara Rindu (Official Music Video)