April 22, 2024

KUALA LUMPUR : Filem kekeluargaan Perjalanan Pertama merupakan langkah permulaan buat syarikat produksi Malaysia, D’Ayu Pictures untuk cuba menembusi pasaran perfileman Indonesia.

Penerbitnya, Dato’ Rosmarayu Mokhtar berkata, filem pertama terbitan syarikatnya itu merupakan usahasama bersama syarikat produksi Indonesia, Mahakarya Pictures.

“Orang tanya kenapa saya berani buat pelaburan yang besar untuk menerbitkan filem ini. 

“Tujuan utama saya adalah untuk mengetahui sendiri tentang proses pembikinan serta pasaran filem di Indonesia,” jelasnya.

Beliau berkata demikian sewaktu sidang media selepas selesai majlis pratonton filem berkenaan yang berlangsung di Jakarta baru-baru ini.

Menceritakan lebih lanjut mengenai pembikinan filem, Rosmarayu memberitahu ia menelan kos sebanyak RM1.75 juta, manakala penggambaran pula dilakukan di Bukit Tinggi, Indonesia.

“Secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan pembikinan filem ini, malah sebagai pelabur kami memang terbabit sejak daripada pra produksi, skrip, penggambaran sehinggalah filem ini siap sepenuhnya. 

“Apa yang menariknya, Perjalanan Pertama juga telah ditayangkan di 400 pawagam atau skrin di seluruh Indonesia bermula pada 14 Julai lalu dan di Malaysia pula bakal menemui penonton pada 18 Ogos akan datang,” jelasnya.

Dato’ Rosmarayu Mokhtar 

Sebagai sebuah filem kolaborasi Malaysia dan Indonesia, Perjalanan Pertama menampilkan dua pelakon utama kedua-dua negara berkenaan iaitu Datuk Ahmad Tamimi Siregar dan pelakon kanak-kanak popular Indonesia, Muzakki Ramdhan.

Selain itu, ia turut dibintangi beberapa pelakon popular lain seperti Randy Pangalila, Adinda Thomas, Gilang Dirga, Komo Ricky dan Angelica Petra.

Perjalanan Pertama yang diarahkan pengarah Arief Malinmudo mengisahkan tentang Tan, seorang pekerja kedai cenderamata di sebuah kampung serta tinggal bersama cucunya, Yahya. 

Yahya yang semakin membesar sering bertanya kepada datuknya tentang identiti ibu bapanya. Ternyata, semua persoalan akhirnya terjawab ketika mereka menghadapi masalah sewaktu dalam perjalanan untuk menghantar sebuah lukisan yang juga merupakan mas kahwin untuk satu pasangan yang akan bernikah. Sebuah perjalanan yang akan mengubah seluruh hidup Yahya dan Tan.

Dalam pada itu, Rosmarayu memberitahu syarikat D’Ayu Pictures dan Mahakarya Pictures bakal menerbitkan filem kedua iaitu sebuah filem thriller yang menjalani penggambaran di Jakarta, Indonesia pada tahun hadapan.

Selain itu, beliau menyatakan syarikatnya itu juga sudah pun siap menghasilkan sebuah filem tempatan berjudul Daddyku Gangster.

Datuk Ahmad Tamimi Siregar dan Muzakki Ramdhan
Barisan pelakon Perjalanan Pertama