Oleh: Zizi Hashim
Berpeluang menonton filem seram Thai baru-baru ini yang mengisahkan tentang pertemuan mengerikan oleh sebuah keluarga di perkampungan terpencil Kanchanaburi, dengan roh syaitan yang merasuk anak perempuan mereka dan menyebabkan kematian misteri, memaksa enam beradik mengambil langkah esktrim untuk menghentikan kehadiran roh jahat yang menghantui kampung mereka. Kisah seram ini diadaptasi dari legenda internet yang menggerunkan kepada kengerian penuh berdarah di skrin besar.
“Death Whisperer” dibintangi oleh Nadech Kugimiya (Yak), Mim Rattanawadee Wongthong (Yam), Denise JelilchaKapaun (Yad), Junior Kajbhunditt Jaidee (Yos), Friend Peerakrit Phacharaboonyakiat (Yod) dan Nina Nutthatcha Padovan (Yee) bersama-sama dengan Fresh Arisara Wongchalee (Yen) dan Ply Pramer Noiam. Filem arahan Kui Taweewat Wantha dan Penerbit Eksekutif Pap Narit Yuwaboon, merupakan pasukan terkenal disebalik filem seram ini yang laku keras di Thailand, mencatat Box Office dalam masa 3 hari tayangan.
Jom serang pawagam skrin IMAX bermula 4 Januari 2024 nanti, buat penggemar filem seram mistik, “Death Whisperer” mengajak penonton sama-sama merungkai misteri kematian seorang gadis muda selepas mendengar mantera atau bisikan yang menyeramkan. Setelah bertahun kemudian, sebuah keluarga pula dirasuk melalui tubuh anak perempuan mereka, Yam. Bersediakah anda untuk mengalami ketakutan sebenar berdasarkan legenda sebenar? Tangisan yang menghantui di tengah malam, ketakutan yang sukar digambarkan menjalar kedalam perjalanan sekeluarga ini.
Entiti atau hantu di dalam filem ini sangat pandai menipuenam beradik itu sehingga mereka terpaksa membawa bomoh handalan untuk menundukkan roh jahat. Setiap proses penaklukan atau rasukan digambarkan dalam suasana mengerikan dan kemunculan entiti pada setiap babak memberi kejutan dan anda pasti tersentak dan menjerit. Jalan ceritayang mengelirukan juga membuatkan anda tidak dapat meramalkan apa yang bakal berlaku selepas setiap adegan. Fotografi dan kerjasama produksi adalah sangat baik, rekabentuk hantu, bunyi dan kesan khas, pencahayaan juga dilakukan penuh teliti dan rapi, menjadikan filem ini menakutkan dan realistik.
Kesimpulannya, filem seram ini adalah wajib tonton bagi penggemar paranormal. Anda nak lihat hantu? Bersiap sedialah membeli tiket, anda akan dapat lihat hantu dan pasti diberi kejutan demi kejutan. Suasana itu akan menghantui apatah lagi dengan pengalaman menonton dalam IMAX, filem pertama Thai yang ditayangkan di IMAX, ianya hebat. Sebuah produksi yang dikatakan menyamai Hollywood, dari segi plot, lakonan, produksi dan atmosfera seram yang diwujudkan.
Menonton pada skala skrin gergasi, serta sistem bunyi yang seolah-olah realiti menjadikan pengalaman menonton “Death Whisperer benar-benar gila. Ia mengelilingi penonton darisetiap arah 360° dengan sistem bunyi 12CH. Bunyi tembakan yang agresif sememangnya memberi impak kejutan maksima, begitu juga dengan bisikan berulang-ulang yang realistik dan memberi kesan terpukau yang entusias dan cemerlang. Filem yang dinanti-nantikan ini menjamin detik-detik yang menyejukkan tulang belakang, meremangkan bulu roma, menggoncang emosi dan memukau penonton. Menjanjikan pengalaman visual dan audio luarbiasa yang akan mencabar had keberanian anda, jangan lupa 4 Januari 2024, saksikan sendiri kengerian dan keseraman di skrin gergasi.