
KUALA LUMPUR – Enam peserta mewakili zon semenanjung berjaya ke peringkat separuh akhir Bintang Kecil 2023 yang akan berlangsung di Kuching, Sarawak pada Ogos depan.
Enam peserta tersebut ialah Muhammad Nur’ Iman Darwisy bin Mohd Noor Azreen (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur), Aeron Jeszel Iskandar bin Mohd Azhar (Negeri Sembilan), Muhammad Syazril Izrul bin Mohd Shamsul Faizi (Kedah), Puteri Azalia binti Mohd Taufik (Perlis), Wa’ie bin Mohd Zain (Johor) dan Nurfarina Farha binti Abdul Zahir (Selangor).
Masing-masing turut membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000.00, trofi, sijil penyertaan dan hadiah iringan. Manakala enam lagi peserta lain yang turut bertanding membawa pulang hadiah sagu hati berupa wang tunai RM1,000.00, trofi, sijil penyertaan dan hadiah iringan.

Enam peserta yang tidak berjaya ke peringkat separuh akhir ialah Adam Syahmi bin Mohd Faizul Hafiz (Pahang), Nur Auni Ramadhani binti Zulkafli (Kelantan), Amanda Putri binti Nor Nawawi (Perak), Abir Elofa binti Elmi Reza (Melaka), Mayyesa Faqiha binti Ikhwan Solihin (Terengganu) dan Loo Zhi Hui (Candy) (Pulau Pinang).
Pertandingan diadili panel juri berpengalaman termasuk Pemuzik Radio Televisyen Malaysia, YM Raja Mohd Sham Raja Saari selaku Ketua Juri, komposer L.Y, Ketua Pusat Pengajian Teater, Fakulti Filem, Teater dan Animasi Universiti Teknologi Mara, Dr. Norzizi Zulkifli dan penyanyi berkaliber Hael Husaini yang turut diundang sebagai penyanyi jemputan bersama Stacy Anam.
Tahun ini menyaksikan NASIONALfm bertindak selaku penganjur dan penyelaras Debaran Zon Semenanjung dengan menampilkan gandingan Izzue Islam dan Dyya Nawai sebagai pengacara.

Pertandingan Bintang Kecil diperkenalkan di Sarawak sebelum diperluaskan ke peringkat Kebangsaan dengan penyertaan dari Semenanjung dan Sabah. Impaknya membawa manfaat besar terhadap industri seni tanah air sehingga mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records untuk The Longest Production And Broadcast Of Children Singing Competition On Radio.
Bagi meningkatkan lagi prestij pertandingan untuk mengangkat martabat industri seni suara dalam kalangan generasi muda, NASIONALfm menjalin kerjasama dengan sektor korporat untuk tajaan hadiah iringan.
