January 14, 2025

KUALA LUMPUR – Sony Music Malaysia dengan bangganya mempersembahkan single terbaharu bertajuk “Untuk Semua Jiwa”, sebuah kolaborasi epik antara pelakon berbakat, Hun Haqeem, dan bintang hip hop terkenal, Noki K-Clique. Lagu yang dicipta oleh komposer muda, Raiden Koh, ini merupakan runut bunyi rasmi (OST) filem yang dinanti-nantikan, “Soloz Game of Life”.

Filem “Soloz Game of Life” yang dijadualkan tayangan pada 23 Januari 2025, mengisahkan perjuangan seorang pemain e-sukan Mobile Legends. Sarat dengan tema persahabatan, keazaman, dan perjuangan, filem ini menggambarkan perjalanan penuh cabaran untuk mencapai kemenangan, bukan hanya untuk diri sendiri tetapi untuk semua. Lagu “Untuk Semua Jiwa” menggambarkan naratif ini, membawa mesej perjuangan dalam kehidupan dan semangat kebersamaan.

Inspirasi di Sebalik Lagu

Menurut Hun Haqeem, lagu ini merupakan medium untuk menyampaikan emosi dan naratif filem kepada peminat. “‘Untuk Semua Jiwa’ mencerminkan cerita ‘Soloz Game of Life’. Lagu ini bukan sekadar tentang menjadi juara berseorangan, tetapi juara untuk semua – satu mesej penting dalam kehidupan,” jelas Hun.

Noki pula berkongsi bahawa inspirasi lagu ini datang daripada pengalaman hidupnya sendiri dan wataknya dalam filem tersebut. “Lagu ini lebih kepada memberi semangat kepada anak muda. Liriknya penuh mesej positif dan motivasi, sejajar dengan tema filem ini,” kata Noki.

Proses Kreatif dan Kolaborasi

Penghasilan “Untuk Semua Jiwa” melibatkan gandingan elemen electro-rock dan beat moden, menghasilkan sebuah karya bertenaga dan dinamik. Gaya vokal unik Hun digabungkan dengan rap mantap Noki menjadikan lagu ini karya yang menonjol.

Kolaborasi antara Hun dan Noki terjalin secara semula jadi, memandangkan kedua-duanya terlibat dalam filem yang sama. “Saya sangat bersyukur dapat bekerjasama dengan Noki. Sebagai pendatang baru dalam bidang nyanyian, pengalaman ini sangat berharga,” ujar Hun.

Sementara itu, Noki memuji bakat Hun yang serba boleh. “Hun ada vokal yang ‘serak-serak basah’ dan berbakat semula jadi. Saya yakin dia mampu pergi jauh jika terus serius dalam muzik,” katanya.

Harapan dan Sambutan

Sebagai debut nyanyian Hun, “Untuk Semua Jiwa” merupakan langkah besar dalam kariernya. Hun menyatakan keinginannya agar lagu ini memberi inspirasi kepada para pendengar. “Saya harap lagu ini dapat menyentuh hati mereka yang mendengar, terutama kerana ia berkait rapat dengan filem yang saya lakonkan,” katanya.

Noki turut berharap lagu ini dapat memberi impak positif kepada masyarakat. “Semoga lagu ini menjadi penyuntik semangat kepada semua yang mendengar, tidak kira cabaran apa yang mereka hadapi,” katanya.

Persembahan Sulung dan Pelancaran

Hun dan Noki akan mempersembahkan lagu ini buat pertama kalinya secara langsung pada kejohanan M6 World Championship di Axiata Arena malam ini. Lagu “Untuk Semua Jiwa” kini boleh didapati di semua platform penstriman digital seperti Apple Music, Spotify, dan YouTube Music.

Untuk Semua Jiwa

Video muzik rasmi lagu ini, yang menampilkan visual mendalam sejajar dengan tema “Soloz Game of Life”, bakal dilancarkan tidak lama lagi secara eksklusif di saluran YouTube Sony Music Malaysia.

Sony Music Malaysia mengajak semua untuk menikmati lagu dan filem ini, sebuah karya yang penuh inspirasi dan semangat juang.