PUTRAJAYA, 23 Mei 2025 – Filem ikonik yang dinantikan ramai, Keluang Man, bakal menemui penonton di 154 pawagam seluruh Malaysia dan Brunei bermula 29 Mei ini. Menampilkan nafas baharu kepada watak adiwira tempatan yang pernah mencipta fenomena pada era 90-an, Keluang Man tampil dengan pendekatan sinematik yang segar, penuh emosi, aksi dan humor.
Membawa semula karakter ‘gila-gila’ yang mencuit hati, filem ini dijangka mengimbau nostalgia serta mencetuskan keterujaan kepada penonton pelbagai generasi. Dengan durasi tayangan selama 132 minit, naskhah ini bukan sahaja menampilkan elemen komedi dan aksi yang seimbang, malah turut disuntik dengan nilai tempatan yang memberi kebanggaan kepada penonton terhadap adiwira asli tanah air.
Filem ini merupakan adaptasi daripada siri animasi popular Keluang Man yang diperkenalkan pada akhir 1990-an, dan kini diangkat ke layar perak sebagai filem ‘live-action’ oleh Astro Shaw bersama GSC, Idea River Run serta rakan strategik Wonda Kopi. Penerbitan ini turut melibatkan produksi Pasal Productions.
Barisan pelakon yang menghiasi filem ini turut menjadi antara tarikan utama, antaranya Nas Muammar Zar, Dato’ Remy Ishak, Datuk Rosyam Nor, Shweta Sekhon, Anwaar Beg Moghal, Halim Othman, Amelia Henderson, Sham Sunder dan Dennis Yin. Filem ini turut menampilkan kemunculan istimewa daripada nama-nama tersohor tanah air seperti Mierul Aiman, Nadhir Nasar, Fazzoq Muqris, Daniella Sya, Wahid dan Azlee Senario, Delimawati, A Galak dan ramai lagi.

Keluang Man merupakan arahan sulung Anwari Ashraf Hashim di layar perak. Beliau sebelum ini dikenali sebagai pencipta bersama trilogi Polis Evo, serta pengarah dan penulis siri popular Projek: High Council dan Anchor SPM. Anwari turut bertindak sebagai penulis skrip untuk filem ini, menzahirkan satu naskhah yang bukan sekadar hiburan, tetapi sebagai penghargaan kepada warisan budaya pop Malaysia.
Menurut Raja Jastina Raja Arshad, Ketua Astro Shaw merangkap Penerbit Eksekutif Keluang Man, filem ini bukanlah sekadar remake tetapi merupakan satu kebangkitan semula ikon kebanggaan negara dengan sentuhan moden. Tambah beliau lagi, penghasilan filem ini melibatkan 100 peratus tenaga kreatif tempatan daripada aspek visual, audio, CGI dan VFX, melibatkan lebih 1,000 tenaga kerja anak Malaysia. Beliau percaya bahawa filem ini akan memberikan pengalaman sinematik yang membanggakan dan menyeronokkan.

Anwari Ashraf menyifatkan filem ini sebagai surat cinta kepada generasi yang membesar pada era 90-an. Beliau percaya bahawa nilai-nilai dari zaman tersebut masih relevan dan mampu membina semula semangat superhero dalam jiwa penonton masa kini. Baginya, Keluang Man bukan sekadar projek hiburan, tetapi usaha untuk menghidupkan semula legasi budaya yang pernah membentuk zaman dan mencipta memori kolektif rakyat Malaysia.
Dari sudut naratif, Keluang Man mengisahkan Borhan, seorang pesakit di Hospital Tumpoi yang sering melarikan diri setiap malam. Apabila kisah silamnya mula menghantui, Borhan yang menghidap Dissociative Schizophrenia tanpa sedar membina alter ego baharu sebagai Keluang Man, seorang adiwira misteri yang tampil mempertahankan kebenaran.
Muzik turut memainkan peranan penting dalam menghidupkan lagi suasana filem. Lagu tema asal Keluang Man diberikan nafas moden menerusi kolaborasi antara Krisya dan kumpulan rock S.O.G. Selain itu, filem ini turut memuatkan lagu-lagu popular era 2000-an seperti Tragedi Oktober, Sha Na Na dan Terhangat di Pasaran, yang menjadikan pengalaman tontonan lebih hidup, bertenaga dan sarat nostalgia.

Tiket untuk menyaksikan filem Keluang Man mula dijual sejak 21 Mei, manakala tayangan awal ‘sneak preview’ akan diadakan pada 28 Mei. Siri jelajah promosi Keluang Man pada 31 Mei di Johor, 1 Jun di Melaka, 6, 7, 8 Jun di Perak, Penang, Kedah, 13, 14, 15 Jun di Terengganu dan Pahang, manakala 20, 21, 22 Jun di Lembah Klang. Pelbagai kolaborasi menarik seperti Wonda Kopi Kluang, Wonda-ful Keluang Man Burger, Keluang Man WONDA Fun Run, dan koleksi eksklusif bersama Royal Selangor dan Abstrax menjadikan filem ini lebih daripada sekadar hiburan, tetapi sebagai satu fenomena budaya.
Orang ramai dijemput mengikuti perkembangan lanjut menerusi platform media sosial rasmi Astro Shaw dan Astro Gempak serta menggunakan tanda pagar #KeluangMan dan #KeluangManMovie untuk berkongsi keterujaan dan sokongan terhadap filem ini. Saksikanlah kebangkitan semula adiwira tempatan yang bakal mencuri hati seluruh rakyat Malaysia.