Derita Seorang Ibu Dalam Lagu ‘Sesal’: Siti Nurhaliza Hayati Emosi Telaga Suriram

KUALA LUMPUR, 14 April 2025 – Legenda seni suara tanah air, Dato’ Sri Siti Nurhaliza, kembali dengan sebuah lagu tema yang penuh emosi dan menyayat hati menerusi filem terbaharu arahan Osman Ali, Telaga Suriram. Lagu berjudul Sesal, ciptaan komposer dan penulis lirik terkenal, Nurzaidi Abd Rahman, turut menyelami penderitaan seorang ibu dalam pencariannya terhadap anak perempuan yang hilang secara misteri.

Filem Telaga Suriram, yang sarat dengan elemen seram dan ketegangan, menemukan kesinambungan dramatik melalui lagu tema ini. Inspirasi lagu Sesal lahir daripada jalan cerita yang mendalam dan emosional, memaparkan derita dan kerinduan yang meruntun jiwa. Pengarah filem, Osman Ali, mengakui bahawa sebaik mendengar lagu tersebut, beliau terus yakin bahawa Sesal adalah pilihan tepat sebagai lagu tema filem itu.

Penerbit turut bersetuju bahawa tiada suara lain yang lebih layak menyampaikan keperitan emosi seorang ibu yang kehilangan anak selain daripada Dato’ Sri Siti Nurhaliza. Rakaman muzik video (MTV) untuk lagu ini telah dilakukan di Studio Kayangan dengan arahan daripada pengarah berpengalaman, Shuhaimi Zulkefli.

Penerbit bersekutu, En. Wan Farid Wan Abdullah dan Julian Tan, turut memainkan peranan penting dalam menjayakan kolaborasi ini serta merealisasikan impian untuk menyaksikan Siti Nurhaliza menyanyikan lagu tema filem yang cukup menyentuh hati ini.

Menariknya, Dato’ Sri Siti Nurhaliza turut hadir memeriahkan majlis sidang media dan pelancaran rasmi lagu tema serta video muzik Sesal yang berlangsung di World Trade Centre Kuala Lumpur, petang tadi. Penampilannya mencuri tumpuan para peminat dan media yang hadir, sekaligus menandakan komitmennya dalam menjayakan projek seni yang menyentuh jiwa ini.

Dalam sesi temubual, Dato’ Sri Siti Nurhaliza berkongsi pengalaman merakam lagu Sesal:

“Alhamdulillah, bila saya dengar melodi dan liriknya, ia mudah difahami dan senang untuk dihayati. Sebagai seorang ibu sendiri, saya sangat faham perasaan kehilangan itu. Proses rakaman berjalan lancar, malah ada satu sesi rakaman saya nyanyi terus tanpa henti dari awal hingga akhir untuk kekalkan emosi.”

Menurut beliau, meskipun sudah lebih 30 tahun menyanyi, lagu seperti Sesal tetap membawa cabaran tersendiri, terutama dalam menyampaikan kesedihan, sesalan dan dendam secara berlapis emosi. Tambahnya lagi:

“Komposer memang minta saya merintih dalam lagu ni. Jadi saya cuba bawa emosi tu supaya sampai ke hati pendengar. Jika lagu ini berjaya menyentuh mereka, saya bersyukur.”

Lagu Sesal kini boleh didengari di semua platform digital pilihan, manakala muzik videonya ditayangkan secara rasmi di saluran YouTube Universal Music Malaysia.

Sinopsis Filem Telaga Suriram

Berlatar di sebuah kampung terpencil, filem ini mengisahkan kehilangan misteri seorang kanak-kanak perempuan yang mencetuskan kekacauan dan curiga dalam komuniti yang dulunya harmoni. Ketidakmampuan menemui mangsa menimbulkan pelbagai khabar angin, termasuk pengorbanan syaitan. Namun, apabila kejadian aneh mula mengganggu kampung, satu persatu rahsia gelap dan kebenaran yang mengerikan mula terbongkar.

Filem Telaga Suriram dijadualkan menemui penonton tidak lama lagi, dengan Sesal sebagai pelengkap emosi yang mengikat kisah dari layar ke hati penonton.

Dato’ Sri Siti Nurhaliza – Sesal (Official Music Video)