
(Penulis: Lordiness)
Berbekalkan banyak pengalaman menonton filem-filem Tamil di Netflix yang gila-gila punya plot twist, seni grafik komputer dan seni lakon yang bermutu pasca filem-filem awal pengenalan kepada pelakon lagenda Rajinikanth, saya melangkah ke MBO@Atria untuk menonton filem berbahasa Tamil buah tangan tempatan; DHANUSSH.
Saya kira ini pengalaman pertama saya menyaksikan filem Tamil ramuan tempatan. ‘Dhanussh’ menjadi pembuka mata saya bahawa dicelah-celah sesak filem yang kian banyak berlegar di pawagam, S. Mathan seorang pengarah muda berani untuk tampil membawa idea beliau bersaing dengan filem-filem hebat lainnya. Semangat dan kesungguhan ini harus dipuji kepada beliau dan seluruh team produksi untuk projek filem ‘Dhanussh’ ini.

Filem yang mengisahkan watak seorang lelaki bernama Kathir yang kini berada di sebuah hospital psikiatri sedang menerima rawatan akibat kemurungan. Kathir asalnya seorang pelajar di sebuah universiti tempatan yang miskin tetapi cemerlang dalam pelajaran. Semasa belajar di universiti, dia berkenalan dengan dua orang pelajar bernama Bahau Boba dan Arun yang akhirnya menjadi rakan karibnya. Dalam masa yang sama, dia juga berkenalan dengan seorang gadis bernama Yaara bekerja di sebuah rumah kebajikan anak-anak yatim. Perkenalan mereka membawa ke bibit-bibit percintaan.
Namun, konflik mula timbul apabila Kathir menjadi mangsa video tular pihak yang tidak bertanggungjawab yang memaparkan perbuatan tidak senonoh dirinya dengan Yaara. Penularan video palsu dalam filem inilah merupakan premis yang dibawa oleh S. Mathan yang mahu memberi kesedaran kepada penonton betapa buruknya kesan atau implikasi sebaran video atau maklumat palsu khususnya kepada pihak mangsa dan masyarakat umumnya.

Sepanjang dua jam lebih tontonan, saya akui saya hampir hilang tumpuan apa sebenarnya yang cuba disampaikan oleh filem ini. Ini kerana saya dibuai oleh kisah percintaan antara Kathir dan Yaara dengan senandung lagu-lagu yang menyela-masa antara babak dengan babak. Sedangkan filem ini mengangkat topik yang serius tentang buli siber, berita palsu dan juga penggodam yang bebas menggodam telefon mobil pengguna dengan licik.
Saya mengharapkan watak Kathir lakonan Mano ini lebih dikembangkan kepada bagaimana dia berdepan dengan konflik ini dengan lebih terperinci. Bukanlah pula mengharapkan seumpama filem serial killer hebat Tamil 2018 berjudul ‘Ratsasan’ yang terperinci dan plot twistnya memening dan kadangkala menggeramkan hati pun ada. Tidaklah begitu. Cuma, kalaulah watak Kathir ini dapat berkembang lebih sedikit konfliknya, pasti filem ‘Dhanussh’ ini mampu memberi kutipan yang memberangsangkan.

Pujian harus diberikan kepada watak Bahau Boba lakonan Sathiswaran yang cukup mencuit hati yang menjadi ‘penyelamat’ kepada filem ini kerana dialog-dialog lawaknya yang sangat bersahaja berserta mimik mukanya begitu menjurai derai ketawa dalam panggung. Pengarah S. Mathan seharusnya sudah boleh memikirkan untuk memperbanyakkan lagi watak dirinya ini dalam instalasi filem-filemnya akan datang. Selain itu, penghargaan juga harus diberikan kepada seni lakon Pelakon kacak Mano dan Pelakon cantik manis Yasmin Nadia yang mampu menjiwai watak masing-masing dengan baik terutama bila babak dialog intim mereka berdua, kedua-duanya tidak kekok menunjukkan ekspresi wajah saling berkasihan apabila bertentangan mata antara satu sama lain.
Filem ‘Dhanussh’ ini semangat pembikinannya seharusnya diberi pujian yang tinggi. Betapa jerih-perih mereka untuk mengeluarkan filem ini begitu memberi inspirasi seperti mana yang dikongsi oleh Mano dan S. Mathan dengan belanja pembikinan filem ini hampir keseluruhannya keluar dari poket mereka sendiri, terhenti akibat pandemik Covid-19, bahkan Mano berkongsi dalam sebuah temuramah di sebuah program TV RTM ‘Radar Skrin’ baru-baru ini sehingga dia terpaksa re-finance semula pembiayaan perumahannya untuk memastikan filem ini dapat diriliskan ke panggung.

Dijadualkan akan berada di panggung seluruh negara pada 14 Mac 2024 ini, saksikan ‘Dhanussh’ di pawagam berhampiran anda. Sebuah nashkah jujur dari pengarah muda S. Mathan membawakan social awareness betapa buruknya implikasi sebuah penularan berita palsu, buli siber dan seumpamanya yang bukan sahaja boleh merosakkan seseorang individu, bahkan boleh sampai menghancurkan sebuah negara andai isu ini tidak ditangani dengan serius. Semak Sebelum Sebar!