May 22, 2024

KUALA LUMPUR – Apabila bercakap soal kesihatan mental, setiap daripada kita perlu menolak stigma ‘takut jumpa kaunselor’ atau hanya yang ‘sakit mental’ saja perlu jumpa kaunselor. Kesihatan mental melibatkan semua individu.

Berharap lebih banyak aktiviti kesedaran kesihatan mental dapat dilaksanakan di setiap komuniti bagi mencegah masalah yang lebih meruncing, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menghadirkan sebuah lagi karya baharu terbitan Unit Drama TV RTM (UDTV) khas bersempena Hari Kesihatan Mental Sedunia yang diraikan bulan Oktober ini.

Drama pendek bertajuk “Dialog Sesudah Senja’ yang mengetengahkan pelakon utama Jay Iswazir, Fadhli Masoot, Izzendra dan Fadilah Mansor ini menemui penonton pada 25 Oktober ini, pukul 9.30 malam menerusi saluran TV2 dan boleh diikuti menerusi penstriman langsung RTMKlik.

Karya arahan Danny Alamsyah, UDTV RTM ini berkongsi kisah watak pemuda bernama Hasib berasal daripada keluarga yang berantakan dan mengalami tekanan akibat perasaan serba salah melihat ibunya yang bersusah-payah berusaha memastikannya berhasil menggenggam segulung ijazah. Keadaan diburukkan lagi apabila ibunya didera oleh ayahnya yang bengis.

Sementara itu Hakim pula merupakan pensyarah di sebuah universiti dengan karier sukses tampak normal namun hakikatnya tertekan untuk terus mengekalkan momentumnya sebagai ahli akademik yang berjaya. Ini diburukkan lagi dengan keluarganya berpecah-belah apabila pilihannya terhadap kerjaya adalah lebih utama.

Menjalani penggambaran pada 23 hingga 27 September lalu, saksikan kesudahan drama pendek sarat pengajaran diterbitkan RTM ini.