KUALA LUMPUR, 15 April 2025 – Penyanyi remaja berbakat besar dan juara Ceria Popstar Xtra 2022, Dinda Dania, kembali mewarnai industri muzik tanah air dengan single terbaharu berjudul “Katana”, sebuah lagu berentak rancak yang mengangkat tema keberanian, keteguhan dan kekuatan jiwa wanita masa kini.
Diterbitkan di bawah label Rocketfuel Entertainment, “Katana” mendapat inspirasi daripada senjata tradisional Jepun yang terkenal dengan keanggunan dan ketajamannya, menjadikan ia simbol kepada kekuatan dalaman serta semangat juang wanita yang tidak mudah goyah.
Menurut Dinda, lagu ini membawa mesej mendalam mengenai wanita yang meskipun berjiwa lembut, tetap memiliki kekuatan dan tidak mudah dipergunakan.
“Secara ringkas, Katana mengisahkan tentang seorang lelaki yang berlaku curang terhadap teman wanitanya. Namun bagi saya, lagu ini bukan sekadar sebuah karya muzik – ia adalah kenyataan yang menyerlahkan keupayaan wanita untuk bangkit, mencari suara sendiri, dan berani mempertahankan maruah,” jelas Dinda.

Single ini merupakan hasil ciptaan Iqie Hugh, Omar K, dan Shazriq Azeman, dengan susunan muzik moden berunsurkan elemen sinematik yang memberi penekanan kepada vokal bertenaga dan ekspresif Dinda.
“Ini bukan kali pertama saya bekerjasama dengan mereka. Pengalaman bekerja dengan Iqie, Omar dan Shazriq sangat menyenangkan kerana mereka profesional dan terbuka menerima pandangan penyanyi. Mereka banyak membantu dan membimbing saya sepanjang sesi rakaman, menjadikan prosesnya lebih lancar,” katanya lagi.
Meskipun berdepan cabaran kesihatan semasa rakaman, Dinda berjaya menyempurnakan sesi tersebut dalam masa lebih dua jam.
“Waktu itu saya kurang sihat, tetapi Alhamdulillah proses rakaman tetap berjalan dengan baik. Saya harap lagu ini dapat menyentuh hati para pendengar, terutamanya para wanita yang ingin merasa lebih yakin dengan diri mereka,” tambahnya.
Sebagai seorang artis muda yang sedang meningkat naik, Katana menandakan kematangan muzik Dinda Dania serta keberaniannya dalam mengetengahkan mesej bermakna melalui karya seni.
“Katana” kini boleh distrim di semua platform digital utama termasuk Spotify, Apple Music, Joox dan YouTube Music. Lirik video rasmi telah pun berada di saluran Youtube Rocketfuel Network.