Oleh: DJ Otai
Terpanggil untuk mencoretkan sesuatu perihal individu yang bergelar Dj, penyampai atau dulu-dulu disebut sebagai juruhebah radio. Aku sendiri pernah terlibat dalam industri ini dan serba sedikit perangai atau keperibadian penyampai radio ini ada dalam kocek aku malah aku pun turut alami.
Suara yang ke udara setiap hari di stesen radio tempat mereka bertugas akan menjadi pilihan pendengar, suara yang ada aura, ada kredibiliti atau kreatif menyampaikan kata-kata manis sudah tentu membuatkan pendengar terpukau dan secara tidak langsung meminati penyampai radio tersebut.
Ramai diantara penyampai radio menjadi pujaan pendengar dan dikalangan pendengar, mereka membayangkan Dj kegemaran atau Dj favourite mereka sangat ‘suci’ amat ‘complete’ dan insan yang paling ‘baik’ hanya kerana susunan bahasa, lenggok kata yang sopan serta amat menghargai setiap pendengar dengan memutarkan lagu-lagu kegemaran ramai.
Jadi apabila sudah ramai peminat, pasti ada timbul perasaan bangga diri, perasaan meninggi diri dan perasan “akulah terpaling hebat, ramai kenal aku, orang lain takkan dapat buat macam mana aku buat, kalau aku tinggalkan stesen radio ini, semestinya ramai pendengar aku akan lari dan tak akan dengar stesen radio itu lagi.”
Salah tu wahai Dj… anda sebenarnya bergantung kepada platform tempat anda bertugas, nama anda terukir kerana jenama stesen radio tersebut. jikakalau anda kata anda hebat anda salah, kerana ada orang lain yang lebih hebat daripada anda.
Encik, Cik dan Puan Dj ingatlah… semua yang ada di dunia ini tak akan kekal lama, populariti anda juga hanya sementara, kita di dunia ini pun sementara, yang kekal abadi hanyalah Allah SWT.
Sesuatu yang berlaku tak perlu nak menyalahkan orang lain, tak usah tuduh pihak pengurusan ‘dengki’ atau ‘aniaya’ anda, sebaliknya lihat semula diri sendiri, apa yang anda telah lakukan, anda sendiri yang ada jawapannya. Tak perlu mengheret pendengar atau peminat-peminat anda untuk mempertahankan anda. Mereka cuma nampak ‘kesucian’ anda ketika anda beraksi dengan lontaran suara di udara sahaja.
Terkejut tak?… Komen-komen yang mengecam atau menghentam pihak pengurusan daripada netizen di media sosial ada yang nampak seperti akaun tak sahih, ada akaun yang baru didaftarkan, ada akaun yang tidak pernah posting apa-apa, ada juga akaun yang tidak mempunyai foto atau profile yang lengkap.
Ayat-ayat di ruangan komentar seakan akan sama sahaja lenggok dan cara penulisannya. Melalui akaun-akaun palsu ini secara tidak langsung ia mempengaruhi pemilik akaun sebenar di kalangan peminat-peminat Dj yang katanya ‘dianiaya’ oleh pihak pengurusan. Dengan kes atau isu yang melibatkan seorang penyampai radio baru-baru ini jelas bahawa Dj tersebut sangat ‘suci’ di kalangan pendengar atau peminatnya dan pihak pengurusan radio itu dikecam serta dihentam teruk.
Apa tujuan mereka wujudkan akaun palsu di media sosial? Jawapannya sebagai senjata untuk mengkriktik orang lain dan mempertahankan diri dari serangan netizen selain memuji diri sendiri.
Netizen… jangan terkejut jika saya beritahu seperkara sebegini memang berlaku dan benar-benar terjadi disebabkan pihak pengurusan melaksanakan peraturan dan undang-undang untuk mendisiplinkan penyampai radio mereka, ada di kalangan penyampai yang sememangnya tidak berpuas hati sekaligus tidak suka boss mereka.
Suci sangatkah Dj popular itu? Kala ke udara sangat sopan, berbudi bahasa dan teramat baik jelas nampak di mata terngiang di telinga, hakikatnya dia sahaja yang tahu betapa busuknya hatinya. Apabila hal ini telah kantoi, pihak pengurusan masih lagi ada budi bicara dan perkara ini tidak pun diambil tindakan. Ini sebagai bentuk pengajaran agar penyampai radio itu berubah.
Bukan nak buka aib penyampai radio tetapi untuk menyedarkan pendengar, peminat dan para netizen bahawa jangan menuduh secara membabi buta terhadap pengurusan yang sentiasa dilihat ‘kejam’ dan tiada tolak ansur kepada penyampai radio ini.
Nakkan pujian, nakkan perhatian, nakkan nampak Dj ini terpaling hebat… Ada di antara penyampai radio (tidak semua, tetapi ada) yang telah mencipta akaun media sosial dengan pelbagai nama samaran dan kemudiannya menghamburkan kata-kata manis, komen-komen memuji Dj, yang sebenarnya Dj itu adalah mereka sendiri. Ini kes masuk bakul angkat sendiri. Tapi orang tidak tahu, jadi kalau dah diberitahu ini cuba selidik akaun-akaun yang memuji Dj-Dj kegemaran anda.
Antara penyampai radio malah semua manusia akan ada rasa irihati, dengki, ketidak puasan hati, rasa dipinggirkan, “kenapa dia pulak dipilih jadi ikon, bukan aku? Asyik dia saja yang jadi emcee, bukan bagus mana pun…” ini adalah lumrah di kalangan penyampai radio.
Tetapi tak semua penyampai radio di Malaysia ini bersikap ego, besar kepala dan kepribadian menjengkelkan seperti catatan di atas, ada memang ada, cuma sebahagian kecil, yang faham tu fahamlah, DJ yang berperangai seperti coretan ini ubah-ubahlah sikap anda.
Wahai netizen sebenar, pendengar sebenar dan peminat sebenar pemilik akaun media sosial sebenar. Nasihat ini ditujukan kepada anda semua, berhati-hati apabila memberi komen dan mengecam individu lain, berpada pada menyalahkan pihak pengurusan stesen radio atau mana-mana jabatan kerajaan serta syarikat swasta.
Ingat, komen-komen di media sosial ini ibarat kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Dj atau penyampai radio adalah manusia, pengurusan juga manusia… kita manusia tidak sempurna.