DOLLA Gegar Pasaran Antarabangsa dengan Single Baharu ‘MWA!’

KUALA LUMPUR, 27 Mei 2025 – Kumpulan gadis popular Malaysia, DOLLA, kembali mencuri tumpuan peminat muzik dengan pelancaran single terbaharu mereka berjudul ‘MWA!’, selepas hampir setahun tanpa sebarang keluaran. Lagu berentak eksperimental yang diilhamkan daripada Brazilian funk ini mendapat sambutan hangat bukan sahaja di Malaysia, malah di peringkat antarabangsa.

Menurut DOLLA, ‘MWA!’ merupakan kesinambungan daripada lagu ‘DAMELO’, namun kali ini tampil dengan elemen muzik Latin yang lebih segar. “Kami peminat muzik Brazil dan sangat mengagumi Anitta. Dari situ, lahirnya idea untuk mencipta lagu berinspirasikan Brazilian funk sebagai sesuatu yang baharu untuk industri muzik Malaysia,” jelas mereka.

Pelancaran lagu tersebut ternyata membuahkan hasil apabila ‘MWA!’ berjaya menembusi Carta RIM Malaysia pada kedudukan ke-6 dan meraih lebih 1 juta tontonan di YouTube hanya dalam beberapa minggu.

Fenomena ‘MWA!’ turut meletus di platform media sosial, dengan ramai pencipta kandungan dari Brazil, Thailand dan Amerika Syarikat menyertai trend tarian yang kini sedang tular. Video muziknya turut mendapat pengiktirafan eksklusif apabila dipaparkan di papan iklan LED gergasi di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Sebagai sebahagian daripada promosi, DOLLA menganjurkan MWA! Heist, satu acara peminat yang berlangsung di Bukit Bintang pada 10 Mei lalu, dan kini diteruskan di IOI City Mall, Putrajaya pada 25 Mei lalu. Acara ini membolehkan peminat menyelami pengalaman dunia muzik video MWA! secara langsung.

Salah satu tarikan utama acara tersebut ialah DOLLA: Most Wanted Ace, pertandingan bakat yang memberi peluang kepada peminat dalam bidang tarian, nyanyian dan rap untuk menyerlah di hadapan pihak pengurusan tertinggi Universal Music Malaysia. Tiga peserta terbaik menerima hadiah berupa barangan eksklusif DOLLA.

“Kami sangat teruja melihat sambutan hebat dari peminat di seluruh dunia. Khususnya dari Brazil — mereka amat menyokong dan memberi komen yang sangat positif. Ini sangat bermakna buat kami sebagai peminat muzik Brazil,” kata DOLLA.

Dengan gerakan tarian ‘MWA!’ yang kini menjadi fenomena global, DOLLA membuktikan bahawa muzik tempatan mampu melangkaui sempadan budaya dan geografi. Mereka turut menyeru peminat agar terus menyokong dan menyertai cabaran tarian ini.