KUALA LUMPUR – Sejak mula membuat kemunculan kali pertama pada 2019, nama ‘girl group’ DOLLA kian mencipta populariti. Imej dan bakat yang dipertaruhkan juga dilihat seiring dengan muzik yang dibawa.
Malah, DOLLA yang dianggotai oleh empat wanita iaitu Tabby, Sabronzo, Angel dan Syasya terus mengukuhkan pengaruh mereka apabila berjaya memenangi beberapa anugerah berprestij tanah air.
Terbaharu, DOLLA yang popular menerusi lagu Dolla Make You Wanna mengekalkan dominasi sebagai Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular pada Anugerah Bintang Popular BH ke-35 baru-baru ini.
Seiring dengan peredaran muzik semasa, DOLLA nekad untuk terus menyajikan peminat muzik tempatan dengan karya atau lagu yang lebih segar.
Buktinya, single terbaharu DOLLA menampilkan Hard Lights berjudul DAMELO yang dilancarkan awal bulan ini sekali lagi ‘trending’ dan menjadi buah mulut. Malah, video muzik (MV) DAMELO menduduki tangga teratas carta trending di YouTube dan YouTube Music.
Di Spotify pula, DAMELO berjaya menduduki playlist New Music Friday di beberapa buah negara seperti Korea, Singapore, Thailand, Filipina, Indonesia dan juga Vietnam.
Bersempena pelancaran lagu dan MV DAMELO juga, DOLLA secara eksklusif mempersembahkan video muzik DAMELO berdurasi 15 saat di Billboard WOLO, Bukit Bintang. Ia satu inisiatif yang cukup membanggakan buat syarikat rakaman Universal Music Malaysia.
Tidak hanya itu, DOLLA yang juga terkenal dengan kelincahan ketika membuat persembahan turut menari di hadapan Billboard di lintasan jalan kaki di Bukit Bintang.
“Ini adalah salah satu rangka promosi bagi menghangatkan lagi single terbaharu DOLLA. Selain video 15 saat DOLLA DAMELO MV di Billboard WOLO Bukit Bintang, mereka juga menari di hadapan Billboard di lintasan pejalan kaki.
“Inisiatif ini juga daripada DOLLA sendiri untuk meuar-uarkan sekali gus menzahirkan rasa bangga mereka apabila MV DAMELO ditayangkan di Billboard. Apatah lagi, kawasan itu juga tumpuan orang ramai termasuk pelancong luar negara,” kata wakil Universal Music Malaysia.
Dalam masa sama, inisiatif yang dilancarkan ini juga bersempena dengan kempen TikTok challenge #DOLLADAMELO.
Nantikan juga video yang merakamkan segala aktiviti DOLLA dalam rangka mempromosikan single DAMELO ini yang bakal disiarkan di saluran YouTube mereka.