Drama ‘Dari Rahim Yang Sama’ Angkat Isu Sosial Anak Tidak Sah Taraf

KUALA LUMPUR, 12 April 2025 – Sebuah drama penuh emosi berjudul Dari Rahim Yang Sama akan mula bersiaran di slot Samarinda bermula 14 April 2025, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam. Drama ini dijangka akan menyentuh hati penonton dengan kisah penuh pengorbanan, harapan, dan kemanusiaan yang sarat dengan realiti kehidupan masyarakat marhaen.

Diarahkan oleh Amor Rizan dan ditulis oleh Naza Manas, Dari Rahim Yang Sama adalah sebuah karya terbitan Anomali Media yang mengetengahkan isu identiti dan perjuangan seorang kakak untuk menyelamatkan masa depan adik-beradiknya. Mengisahkan kehidupan tiga beradik yang hidup tanpa pengiktirafan sah taraf, drama ini memaparkan cabaran besar yang mereka hadapi akibat kecuaian ibu mereka, Suraya (lakonan Nabila Huda), seorang ibu tunggal yang sering kali mengabaikan tanggungjawabnya.

Pelakon utama, Mhia Firdaus, memainkan peranan sebagai Balqis, kakak sulung yang terpaksa mengambil alih tanggungjawab sebagai penjaga keluarga, sementara dua adik lelakinya, Aqil (Rykarl Iskandar) dan Afiq (Rafique Iskandar), tidak pernah didaftarkan kelahirannya. Tanpa sijil kelahiran yang sah, mereka dinafikan hak untuk bersekolah dan menjalani kehidupan yang normal seperti rakan sebaya.

Konflik semakin memuncak apabila Suraya mengakui bahawa dia sengaja tidak mendaftarkan anak-anaknya kerana takut Balqis akan meninggalkannya suatu hari nanti. Persoalan utama dalam drama ini, adakah sinar harapan akan menyinari kehidupan mereka yang selama ini terpinggir?

Dari Rahim Yang Sama turut dibintangi oleh pelakon hebat lain seperti Angeline Tan dan Kahoe Hon, yang menjanjikan lakonan yang penuh emosi dan menghidupkan setiap watak dengan sempurna. Drama ini bukan sahaja menyentuh isu sosial yang jarang diketengahkan, seperti anak tidak sah taraf dan kecuaian ibu bapa, tetapi juga membuka ruang perbincangan tentang kesedaran masyarakat terhadap golongan yang sering terpinggir.

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan drama penuh inspirasi ini. Tayangan eksklusif boleh dinikmati lebih awal 24 jam di platform Tonton sebelum ia disiarkan di kaca televisyen. Saksikan Dari Rahim Yang Sama mulai 14 April 2025, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam hanya di slot Samarinda.