PETALING JAYA, 18 April 2025 – Drama bersiri vertikal terbaharu TV3, Keluarga Antara Insan, mencipta kejutan apabila berjaya mencatat lebih 2.5 juta tontonan di TikTok hanya dalam tempoh seminggu menerusi 10 episod yang penuh dengan elemen humor dan kehangatan kekeluargaan.
Diterbitkan dengan kerjasama Samsung Malaysia, drama ini menampilkan kombinasi lakonan mantap dan serasi daripada barisan pelakon popular seperti Muaz Zabir, Puteri Balqis, Aleza Shadan, Amirulhakim Lokman serta kumpulan DUKES, dengan penampilan istimewa Tony Eusoff yang menambah kekuatan kepada keseluruhan naratif.
Nama Muaz Zabir dan Puteri Balqis sekali lagi mencuri perhatian ramai selepas kejayaan mereka dalam drama Keluarga Itu. Kali ini, gandingan mereka dalam Keluarga Antara Insan membawakan sisi berbeza – lebih santai, bersahaja namun tetap berkesan dalam menyampaikan mesej serta nilai murni yang dekat di hati penonton.
Respons penonton juga amat memberangsangkan, terutamanya terhadap lakonan Puteri Balqis yang tampil dalam watak ringan dan mencuit hati, jauh berbeza daripada watak-watak berat yang sering dikaitkan dengannya. Kehadiran si comel Momo, seekor kucing yang menjadi watak sampingan, turut menambah keunikan drama ini dan menjadi kegemaran ramai.

Mengambil latar kejiranan mesra di Taman Antara Insan, drama ini mengisahkan tentang Dahlia (Puteri Balqis) dan Amir (Muaz Zabir), dua jiran yang sering bertelagah dalam setiap pertemuan. Pertelingkahan bermula akibat insiden kecil melibatkan kucing bernama Momo dan kereta Amir yang tercalar. Namun, konflik tersebut mula berubah arah ketika Ramadan menjelma, dengan jiran-jiran seperti Kak Bib (Aleza Shadan), Ezzat (Amirulhakim Lokman) serta ahli band surau (DUKES) bertindak sebagai pendamai.
Sepanjang episod yang berlatar suasana sahur, bazar Ramadan, solat tarawih, dan persiapan Aidilfitri, hubungan antara Dahlia dan Amir perlahan-lahan berubah. Mereka mula menyedari bahawa di sebalik segala perbezaan, terselit persamaan yang tidak dijangka.
Apakah kesudahan kepada hubungan yang bermula dengan pertelingkahan ini? Mampukah keduanya menemui titik damai di bulan penuh rahmat ini?
Dengan jumlah tontonan yang terus meningkat, Keluarga Antara Insan membuktikan bahawa konsep penceritaan yang ringan, diselit humor dan mesej kekeluargaan yang kuat, mampu menjadi fenomena dalam era digital hari ini.