KUALA LUMPUR – Membariskan beberapa nama besar dalam dunia lakonan tanah air, telefilem “Durjana Pujaan” terbitan Unit Drama TV RTM yang bakal menemui penonton khas Aidilfitri ini pastinya antara karya terbaik yang dijanjikan RTM pada 22 April ini, pukul 9.00 malam.
Diarahkan oleh Wan Afzam Wan Daud dan skrip ditulis oleh Amin Masyur, drama sempena Aidilfitri 2023 mengisi slot Panggung RTM di TV1 ini menampilkan gandingan pelakon utama Zahiril Adzim dan Sabri Yunus sebagai abang dan adik yang tercetusnya konflik di antara mereka namun pelbagai usaha dilakukan dalam membuktikan peribahasa air dicincang takkan putus.
Turut menampilkan Hanna Aqeela, Kazar, Azhan Rani, Amerul Effendi, Balkisyh Semundur Khan, Ammar Titan dan pelakon kanak-kanak Haziq Bukit Selambau, plot kisah drama ini meskipun ditayangkan pada Aidilfitri namun tidak langsung menyentuh sambutan perayaan sebaliknya menekankan hubungan persaudaraan antara adik dan abang yang terjalin akan utuh selamanya selagi ada usaha mempertahankannya.
Menariknya drama ini menitikberatkan pemilihan lokasi penggambaran yang tampak sempurna di mata penonton iaitu di beberapa lokasi menarik sekitar Pulau Pinang selama 12 hari bermula 20 Februari hingga 3 Mac lalu.
“Durjana Pujaan” mengisahkan dua adik beradik yang berusaha memperbaiki hubungan kehidupan di bandar yang tiada warna dan menyesakkan. Disebabkan kesalahan abangnya, Kadir terpaksa keluar dari kampung dan menetap di bandar dengan melupakan hasrat dia untuk sambung belajar.
Abangnya, Tahir baru keluar penjara, tidak punyai pilihan. Terpaksa tinggal bersama adiknya itu kerana kondisi matanya yang rabun teruk. Kadir dulunya seorang pelajar pintar dan pernah mendapat keputusan cemerlang (SPM) terpaksa bekerja siang malam bagi mengumpul duit untuk pembedahan mata abangnya dan dalam masa yang sama mengumpul sejumlah duit untuk bekal mereka memulakan kehidupan di kampung mereka nanti.
Siang dia bekerja di sebuah kedai buku manakala malam pula bekerja sebagai pengawal di pusat hiburan. Tahir sering mendesak adiknya Kadir untuk dia pulang ke kampung. Sedangkan Tahir lupa yang dia lah punca yang menyebabkan mereka ‘terperangkap’ di bandar itu. Apa yang terpendam akhirnya meletup. Berlaku pertengkaran besar antara mereka berdua. Kejadian ini menyebabkanhubungan kedua beradik semakin dingin.
Nur muncul dan membuka ruang hati Kadir untukmenyambung pelajarannya. Kadir danTahir mula berbaik semula. Namun kegembiraan tidak kekal lama, rahsia gelap Kadir dan Tahir diketahui Nur. Ini menyebabkan hubungan Nur dan Kadir menjauh. Tahir pergi berjumpa Jaka (abang Nur yang juga majikan Kadir). Masing-masing cuba mempertahankan adik masing-masisng. Keputusannya Kadir dan Nur terpaksa berpisah.
Hikmah perpisahan ini merubah Kadir menjadi orang yang lebih bertanggungjawab. Dia meninggalkan kerja kotornya dan berusaha untuk meneruskan cita-citanya. Beberapa orang kenalan yang pernah meminjam duit dari Kadir, mula membayar hutang semula. Namun mampukah Kadir mengubah pendirian Tahir untuk menjalani pembedahan mata akan kesampaian? Ikuti kesudahannya Aidilfitri ini di TV1.