KUALA LUMPUR : Tidak ada yang lebih havoc apabila beberapa kugiran dan band tempatan yang menjadi kegilaan ramai akan bersama dalam satu panggung.
Dikenali sebagai Havoc Event & Management Sdn Bhd (HAVOC) atau lebih popular sebagai Havoc Food Festival, tahun ini mereka ingin meraikan pengunjung bersama acara hiburan yang pastinya ‘pecah’.
Melalui program yang diberi nama Havoc Midnight Concert, acara seperti festival ini akan dilaksanakan di beberapa lokasi.
Atas faktor-faktor teknikal yang tidak dapat dielakkan, Havoc Midnight Concert yang dijadualkan pada 3 dan 4 September ini telah disatukan pada hari Ahad, 4 September 2022, bermula pukul 9 malam hingga 12 tengah malam.
Bakal dilaksanakan di Dataran Karnival Shah Alam, pihak penganjur juga mengambil kira faktor cuaca yang tidak menentu sejak kebelakangan ini.
“Atas faktor-faktor teknikal yang tidak dapat dielakkan, kami mengambil keputusan untuk menyatukan konsert ini pada tarikh 4 September ini. Setelah berbincang dengan semua artis yang terlibat, kami mengambil keputusan tersebut atas persetujuan mereka. Tambahan pula, kami mengambil kira faktor cuaca yang kini tidak menentu,” ujar Firdaus Nadxaman selaku Ketua Pegawai Eksekutif Havoc Event & Management Sdn Bhd.
“Melihatkan respons di sosial media, kebanyakan para peminat juga menyokong perubahan jadual konsert ini,” tambahnya yang berterima kasih dengan para peminat yang menyokong keputusan yang dibuat oleh mereka.
Konsert ini akan menghimpunkan Kugiran Masdo, Noh Salleh, Floor 88, Zynakal, Yonnyboi dan KClique di Dataran Karnival Shah Alam, Selangor dan pastinya gabungan ini pada satu malam akan ‘bikin pecah’.
Peminat boleh menyaksikan persembahan pemuzik idola mereka pada pukul 9 malam sehingga 12 malam dengan pilihan harga tiket baharu bermula dari RM99 (rock zone) dan RM55 (normal zone).
Kesemua tiket boleh dibeli melalui www.ticket2u.com.
Selain mendapatkan hiburan, pengunjung yang hadir usah risau kerana di sini juga akan berlangsung festival makanan dan jualan lainnya yang telah menjadi trademark dan mendapat kerjasama dari Cuti Cuti Malaysia serta Tourism Malaysia sejak acara ini ditubuhkan pada tahun 2019.