Dukes kembali dengan single terbaharu ‘Little Talks’

PETALING JAYA, 19 Mac 2025 – Band indie rock Malaysia yang semakin mencipta nama, Dukes, kembali menghangatkan industri muzik dengan pelancaran single terbaharu mereka, Little Talks. Lagu bergenre pop rock ini membawa kisah cinta, kehilangan, dan nostalgia zaman remaja, menyentuh hati para pendengar dengan liriknya yang ringkas namun bermakna.

Dicipta oleh pemain gitar Dukes, Rayyan, lagu ini lahir daripada pengalaman peribadinya ketika berusia 17 tahun. Mengagumi genre punk rock, Rayyan menggabungkan unsur muzik nostalgik dengan pengaruh Blink-182, menjadikan Little Talks sebuah karya yang bukan sahaja dekat di hati peminat muzik remaja, tetapi juga mengimbau kenangan cinta pertama dan perasaan yang berbaur antara kegembiraan dan kesedihan.

Menurut Dukes, Little Talks menceritakan perjalanan seorang lelaki yang ditinggalkan oleh kekasihnya dan berusaha untuk memperbaiki hubungan mereka. Meskipun melodinya ceria dan penuh tenaga, liriknya tetap menyampaikan perasaan kehilangan dan harapan. Menggunakan pendekatan less is more, lirik lagu ini disusun dengan kata-kata yang mudah dan berulang agar mesejnya dapat difahami dan dirasai secara mendalam.

Sebagai sebuah kumpulan yang menitikberatkan kreativiti dan ekspresi dalam berkarya, Dukes lebih gemar mencipta lagu sendiri berbanding menggunakan khidmat komposer luar. “Bagi kami, muzik bukan sekadar hiburan, tetapi satu bentuk ekspresi diri yang tulus,” kata mereka dalam satu kenyataan.

Penerbit muzik berpengalaman, Jipie, yang turut terlibat dalam produksi Little Talks, menyatakan rasa kagumnya terhadap Dukes. “Keunikan lagu ini terletak pada hook melody dan susunan muzik yang berkembang dari perlahan kepada lebih rancak. Selain itu, disiplin dan semangat mereka sepanjang proses rakaman sangat mengagumkan untuk sebuah kumpulan baharu,” katanya.

Dengan harapan untuk menarik perhatian peminat di peringkat antarabangsa, Dukes optimis bahawa Little Talks mampu memberikan impak besar dalam industri muzik tempatan dan global. Melodi yang segar, lirik yang menyentuh hati, dan susunan muzik yang dinamik menjadikan lagu ini sebagai antara karya yang bakal menjadi siulan ramai.

Little Talks kini boleh didengarkan di semua platform digital. Jangan lepaskan peluang untuk menikmati sebuah karya yang membawa kembali kenangan cinta remaja melalui sentuhan muzik pop rock yang segar!