KUALA LUMPUR – Industri hiburan tanah air terus berkembang dengan kehadiran duo pop terbaharu, Duwita, yang secara rasmi melancarkan single pertama mereka berjudul “Lalala”. Duo yang terdiri daripada dua bakat muda, Emylia Shazleen dan Dinnie Medina, ini membawa nafas segar dalam industri muzik tempatan dengan persembahan yang penuh emosi dan melodi yang memukau.
“Lalala” adalah sebuah karya yang menceritakan tentang keberanian untuk melepaskan cinta yang sudah tidak bermakna dan bagaimana mencari kebahagiaan dalam diri sendiri. Lagu ini membawa pendengar melalui perjalanan perpisahan yang penuh dengan keikhlasan dan keteguhan hati. Dengan lirik yang penuh makna, Duwita berjaya menggambarkan kekuatan dalam mengambil keputusan untuk berjalan sendiri tanpa bergantung kepada orang lain.
Proses penciptaan lagu ini melibatkan kerjasama kreatif yang mantap antara Duwita dan tiga penerbit serta komposer berbakat iaitu Aliff Hassan, Ijoy, dan Hariz. Aliff Hassan juga terlibat dalam penulisan lirik lagu ini bersama seorang penulis lain. Mengenai pelancaran ini, Aliff Hassan menyatakan, “Kami sangat berbangga dapat memperkenalkan Duwita kepada industri muzik. Penglibatan kami dalam menghasilkan ‘Lalala’ adalah satu pengalaman yang luar biasa, dan kami berharap lagu ini akan mendapat sambutan hangat di kalangan pendengar.”
Duwita bukan sahaja menyajikan muzik yang indah, tetapi juga hadir dengan gabungan suara yang harmoni dan gaya persembahan yang unik, menjadikan duo ini sebagai satu nama yang perlu diberi perhatian dalam industri muzik.
AJ Music, label muzik yang bertanggungjawab dalam pelancaran Duwita, terus komited dalam memperkenalkan bakat-bakat tempatan kepada pasaran yang lebih luas. Dengan fokus pada kualiti dan inovasi, AJ Music berharap dapat menjadi pemangkin dalam pembangunan industri muzik Malaysia.
Lagu “Lalala” bukan sahaja mengangkat tema perpisahan tetapi juga menonjolkan perasaan kesunyian yang mendalam, digambarkan melalui lirik yang berlatarbelakangkan malam yang sunyi dan bintang-bintang di langit. Rasa rindu dan harap yang terpendam diluahkan dengan penuh keikhlasan, menjadikan “Lalala” sebuah lagu yang dapat meresap ke dalam hati pendengar.
Muzik Video Lirik Rasmi “Lalala” kini boleh ditonton di saluran YouTube AJ Music, dan lagu ini juga tersedia di semua platform digital. Duwita, dengan “Lalala”, pasti akan meninggalkan kesan mendalam di hati peminat muzik tempatan dan antarabangsa.
Muzik Video Lirik Rasmi “Lalala” telah dilancarkan di saluran YouTube AJ Music dan lagu ini boleh didapati di seluruh platform digital.