KUALA LUMPUR, 21 Mac 2025 – Menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, Hong Leong Bank dan Hong Leong Islamic Bank (“HLB” atau pihak “Bank”) telah melancarkan kempen khas bertemakan ‘Amalan’ yang menekankan kepentingan amalan baik, termasuk pengurusan kewangan bijak, sebagai sumber kesyukuran dan kegembiraan.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, HLB turut memperkenalkan lagu dan video muzik Raya bertajuk Senyum-Senyum Raya, yang menampilkan duta HLB, Alif Satar. Lagu ini merupakan hasil ciptaan Yusuff Khan, Adam Armin, Adly Kiddy dan Ja’a, serta dinyanyikan oleh Alif Satar & The Locos. Dengan mesej yang penuh kesyukuran dan keceriaan, lagu ini diharapkan dapat membawa keceriaan kepada rakyat Malaysia sepanjang musim perayaan.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif HLB, Kevin Lam, menegaskan komitmen Bank dalam menyediakan penyelesaian kewangan yang bijak dan bertanggungjawab kepada pelanggan.
“Kami berhasrat untuk memperluaskan lagi penyelesaian kewangan yang diperibadikan kepada lebih ramai pelanggan. Dalam aspek ini, Hong Leong Islamic Bank memainkan peranan penting dalam menawarkan produk dan perkhidmatan perbankan yang patuh Syariah. Melalui rangkaian produk ini, kami berharap dapat meringankan beban pelanggan dan membantu mereka dalam perjalanan kewangan yang lebih stabil dan bertanggungjawab,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi HLB, Zalman Zainal, berkata kempen Hari Raya tahun ini membawa pendekatan baharu kepada masyarakat.
“Tema Amalan menjadi teras kepada mesej kempen kami tahun ini. Kami percaya bahawa amalan baik adalah punca kepada kebahagiaan dan kesyukuran, terutamanya pada musim perayaan ini. Hari Raya adalah masa untuk meraikan kejayaan dan menikmati hasil usaha, dan kami ingin menginspirasi rakyat Malaysia untuk memupuk amalan kewangan yang mampan,” katanya.
Duta HLB, Alif Satar, turut meluahkan rasa bangga atas penglibatannya dalam kempen ini.
“Saya amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan HLB dalam projek ini. Sebagai seseorang yang sangat menghargai nilai kekeluargaan, saya merasakan projek ini amat bermakna. Lagu ini bukan sekadar lagu biasa, tetapi membawa mesej yang positif dan membangkitkan suasana ceria Raya,” katanya.

Dalam semangat amalan baik, HLB turut bekerjasama dengan foodpanda untuk menjalankan program pengagihan makanan kepada penghantar foodpanda. Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, pihak Bank telah menyumbangkan makanan kepada 1,000 penghantar serta menaja jamuan berbuka puasa untuk lebih 300 penghantar di Melaka, Terengganu, Negeri Sembilan dan Perak.
Selain itu, HLB juga giat menjalankan kempen tanggungjawab sosial korporat (CSR), termasuk sumbangan pek makanan dan aktiviti gotong-royong di rumah kebajikan seluruh negara. Baru-baru ini, pihak Bank telah mencapai jumlah sumbangan lebih RM100,000 dalam bentuk bantuan makanan dan keperluan harian kepada rumah-rumah kebajikan.
Lagu Senyum-Senyum Raya telah dilancarkan secara rasmi pada 14 Mac lalu di semua platform muzik digital, manakala video muzik rasmi boleh ditonton di saluran YouTube Hong Leong Bank.