KUALA LUMPUR, 5 Jun 2025 – Kumpulan pop balada terkenal dari Indonesia, Dadali, bakal mencipta sejarah tersendiri apabila tampil buat julung kalinya di pentas konsert berskala besar menerusi “Sebuah Kisah Volume 1” Live in KL 2025, yang dijadualkan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 5 Julai 2025, jam 9 malam.
Dalam satu sidang media yang berlangsung di Royale Chulan Kuala Lumpur, vokalis utama Dadali, Dyrga Dadali atau nama sebenarnya Dyrga Peribadi, tampil penuh emosi dan penghargaan, mengakui konsert tersebut merupakan manifestasi kepada sebuah doa yang telah lama dipendam.
“Peluang ini tidak akan saya sia-siakan. Saya pernah berdoa di Tanah Suci agar diberi momentum, dan Alhamdulillah, Allah jawab doa itu melalui Gegar Vaganza (GV) dan konsert ini. Saya merinding… saya tahu ini bukan kebetulan,” ujar Dyrga penuh sebak.
Menurut Dyrga, segalanya bermula dengan kejutan apabila menerima jemputan menyertai program realiti Gegar Vaganza, yang menjadi titik kebangkitan semula semangatnya dalam muzik. Perkenalan beliau dengan pengurus acara, Kak Ratna dari Ultimate Teamworks, membawa kepada perjanjian untuk penganjuran konsert solo pertama Dadali yang disifatkan sebagai sebuah konsert tunggal dan eksklusif.
Menambah istimewa konsert ini, penyanyi tersohor Malaysia Ronnie Hussein turut diundang untuk membuat penampilan khas dan berganding secara langsung dengan Dadali sepanjang malam persembahan.
“Ronnie bukan sekadar penyanyi jemputan. Dia akan bersama kami sepanjang konsert. Bahkan dia menyanyikan lagu dari Hyper Act pun dengan iringan live daripada Dadali sendiri,” ujar Dyrga.
Dalam satu pengakuan penuh keinsafan, Dyrga turut berkongsi kisah perjuangannya sewaktu pandemik COVID-19 yang memaksanya menjual jam tangan mewah miliknya demi kelangsungan hidup keluarga.
“Saya pernah tiada pendapatan. Anak-anak perlu makan. Jam tangan saya bernilai lebih Rp1 miliar, saya jual demi kelangsungan. Tapi saya tidak anggap diri ini hero. Ini semua rezeki dari Allah, saya hanya perantaranya.”
Dadali yang digelar sebagai “King of Sad Song” cukup dikenali dengan lagu-lagu berunsur cinta dan emosi yang dekat dengan pendengar, antaranya “Disaat Aku Mencintaimu”, “Disaat Aku Tersakiti”, “Disaat Sendiri”, dan “Sebuah Kisah”.
Selain Dyrga selaku vokalis utama, kumpulan ini turut dianggotai oleh Boim (gitar), Dendi (keyboard), Hendi (bass), Rickarjd (gitar melodi) dan Obot (dram), yang juga dikenali sebagai anggota kumpulan Zivilia.
Konsert ini dijangka bukan sekadar persembahan muzik biasa, sebaliknya sebuah malam penuh emosi, harapan, dan penghargaan kepada para peminat yang setia menyokong perjalanan seni mereka.
Konsert “Sebuah Kisah Volume 1” dianjurkan oleh Ultimate Teamworks Malaysia, Ultimate Media, dan BIZCreations, dengan sokongan Tourism Malaysia dan kempen Visit Malaysia 2026.
Tiket untuk menyaksikan konsert ini ditawarkan pada harga yang pelbagai mengikut kategori tempat duduk, bermula daripada RM188 bagi ruang berdiri bebas, sehingga RM258 untuk tempat duduk premium. Bagi peminat yang mahukan pengalaman eksklusif, pakej VIP berharga RM588 turut disediakan, lengkap dengan kotak khas untuk 12 orang serta sesi pertemuan bersama artis (Meet & Greet).
Tiket boleh dibeli secara rasmi di www.myticketempire.com dengan pilihan pembayaran ansuran melalui Atome, SPayLater, dan Grab PayLater.
Mengakhiri temubual, Dyrga menyifatkan konsert ini sebagai medan memperbaharui silaturahim antara Dadali dan peminat.
“Malaysia kini menjadi platform penting buat kami. Selepas bertahun-tahun melalui liku, saya percaya konsert ini bukan hanya sebuah pentas hiburan, tetapi simbol kebangkitan semula yang penuh makna.”
Konsert “Sebuah Kisah Volume 1” Dadali bukan sekadar persembahan muzik, tetapi simbol kebangkitan, harapan dan penghargaan kepada peminat yang setia menunggu. Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan sejarah tercipta.