PUTRAJAYA, 21 Mei 2025 – Watak animasi ikonik tanah air, Ejen Ali, kembali menggegarkan layar perak menerusi filem sekuel yang dinanti-nantikan, Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) yang ditayangkan secara eksklusif dalam majlis tayangan perdana di IOI City Mall, Putrajaya pada 19 Mei lalu.
Filem ini bakal menemui penonton di seluruh negara bermula 22 Mei 2025 dan menjanjikan pengalaman animasi 3D yang lebih mendebarkan dengan aksi penuh intensiti, jalan cerita yang matang serta pembangunan watak yang menyeluruh. Kali ini, Ali terlibat dalam misi berisiko tinggi di bawah program elit SATRIA yang menggunakan sut berteknologi tinggi dengan bantuan kecerdasan buatan (AI). Ancaman menjadi semakin rumit apabila Rizwan kembali dan memohon bantuan Ali untuk menjejak dalang sebenar di sebalik kekacauan yang melanda Cyberaya, sementara penggodam misteri bernama Neonimus pula muncul dengan dendam peribadi terhadap Ali.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2016, Ejen Ali telah berkembang menjadi fenomena dalam industri animasi tempatan dan antarabangsa, menembusi lebih 65 negara. Filem pertama yang ditayangkan pada tahun 2019 mencatat kutipan melebihi RM30 juta, sekali gus mengukuhkan kedudukan francais ini sebagai salah satu harta intelek animasi paling berjaya di Malaysia.
Dalam majlis tayangan perdana yang berlangsung meriah, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Puan Nini Yusof menyatakan rasa bangga terhadap pencapaian Ejen Ali yang bukan sekadar menghiburkan tetapi turut membawa mesej penceritaan Malaysia ke peringkat antarabangsa. Pengarah filem dan Ketua Pegawai Eksekutif WAU Animation, Encik Usamah Zaid Yasin pula menzahirkan penghargaan terhadap sokongan peminat yang tidak pernah pudar sejak perancangan awal filem ini sebelum era pandemik.
Runut bunyi EATM2 memainkan peranan penting dalam memperkukuh emosi dan jalan cerita filem. Antara lagu yang ditampilkan ialah Hanya Kamu nyanyian legenda Dato’ M. Nasir, Teman Sejati oleh band terkenal Indonesia Nidji, serta Penjuara daripada Hael Husaini. Setiap lagu membawa nuansa tersendiri yang seiring dengan perkembangan watak dan momen penting dalam filem.
Malam tayangan perdana turut diserikan dengan persembahan langsung Dato’ M. Nasir yang menyampaikan lagu tema utama, gimik kejutan serta tarian bertenaga yang diiringi lagu Penjuara. Kemunculan mengejut lagu ikonik dari filem pertama, Mamak Maju, dalam bentuk flash mob turut membangkitkan suasana nostalgia dan keterujaan penonton.
Sambutan peminat terhadap EATM2 sangat luar biasa apabila semua tiket pratonton khas di sembilan lokasi GSC habis terjual dalam masa singkat. Jualan tiket awal kini dibuka di lebih 70 pawagam di seluruh negara. Pelbagai barangan eksklusif turut diperkenalkan sempena tayangan rasmi, antaranya figurine tumbler SATRIA dan Ali edisi terhad, peranti IRIS interaktif serta koleksi bucket popcorn bertemakan watak-watak filem.
Ejen Ali The Movie 2 diterbitkan oleh Primeworks Studios dan WAU Animation dengan kerjasama Komet Productions, serta dibawakan khas oleh Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd. Penonton diseru untuk menyahut panggilan misi dan menyertai keterujaan global dengan menggunakan tanda pagar rasmi #EjenAliTheMovie2 di semua platform media sosial. Untuk kemas kini terkini, kandungan eksklusif dan klip di sebalik tabir, orang ramai boleh mengikuti saluran YouTube rasmi Ejen Ali serta akaun media sosial Primeworks Studios.
Saksikan sendiri pengembaraan epik penuh emosi dan aksi mendebarkan dalam Ejen Ali The Movie 2, yang akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 22 Mei ini.