Ejen Ali The Movie 2 Gegar Pawagam: RM15.3 Juta Dalam 4 Hari!

KUALA LUMPUR, 26 Mei 2025 – Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) terus mencipta gelombang di layar perak apabila mencatat kutipan luar biasa sebanyak RM15.3 juta dalam tempoh empat hari tayangan rasmi! Lebih 1 juta penonton telah melapor diri ke pawagam sejak filem ini memulakan “operasi” pada 22 Mei lalu, menjadikannya pembukaan filem animasi tempatan terbesar setakat ini.

Diterbitkan oleh Primeworks Studios dan WAU Animation, kejayaan luar biasa ini disambut dengan penuh kesyukuran oleh pasukan produksi. Filem aksi animasi kegemaran rakyat Malaysia itu ditayangkan serentak di 161 lokasi pawagam di Malaysia dan Brunei, dan sambutan hebat dijangka berterusan menjelang musim cuti sekolah bermula 29 Mei ini.

Permintaan tinggi turut menyebabkan beberapa pawagam menambah sesi tayangan untuk memenuhi kehendak penonton yang tidak mahu terlepas peluang menyaksikan kembalinya Ejen Ali dalam aksi terbaharu yang penuh mendebarkan.

Pengarah EATM2 merangkap Ketua Pegawai Eksekutif WAU Animation, Usamah Zaid Yasin, menzahirkan rasa syukur atas sokongan padu daripada penonton.

“Alhamdulillah, dari sesi Fans Screening hingga ke tayangan rasmi, sokongan yang diterima sangat luar biasa. Kami amat terharu membaca komen dan maklum balas positif yang diterima. Ia menjadi dorongan kuat buat kami untuk terus menghasilkan karya Ejen Ali yang lebih hebat di masa akan datang.”

Sementara itu, Puan Nini Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, turut menyeru rakyat Malaysia agar terus menyokong filem tempatan:

“Kami mengalu-alukan kehadiran lebih ramai penonton, terutamanya sempena cuti sekolah yang bakal tiba. Ejen Ali The Movie 2 bukan sahaja menghiburkan, malah membawa mesej penting yang sesuai untuk tontonan semua peringkat umur. Kami juga mohon kerjasama agar tidak mendedahkan sebarang spoiler, agar semua penonton dapat menikmati pengalaman penuh tanpa gangguan.”

Dengan tema “Satria, Bangkit”, Ejen Ali The Movie 2 terus mencuri perhatian bukan sahaja kerana aksi memukau dan visual animasi berkualiti tinggi, tetapi juga kerana naratif yang menyentuh emosi dan nilai kekeluargaan yang dekat di hati rakyat Malaysia.

Jangan tunggu saat akhir!
Tempah tiket anda hari ini dan jadi sebahagian daripada fenomena filem animasi tempatan yang sedang menggegarkan negara!

Ikuti perkembangan terkini, kandungan eksklusif dan di sebalik tabir menerusi saluran YouTube rasmi Ejen Ali serta akaun media sosial Primeworks Studios Film.