December 8, 2023

KUALA LUMPUR : kumpulan terkenal Indonesia, Slank, bakal mengadakan ‘konsert 4 Dekad Slank’ pada 19 November ini bertempat di Zepp Kuala Lumpur dan akan bermula pada pukul 8.30 malam. Slank bakal mempersembahkan konsert dengan durasi 2 jam khas buat para peminat di Malaysia. 

Walaupun berdepan dengan hari penting penentuan bagi rakyat Malaysia iaitu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), namun bagi pihak penganjur TBRW Global Sdn Bhd, Wan Norul Fadly percaya PRU15 ini tidak memberi kesan kepada konsert yang akan berlangsung pada sebelah malam.

“Kita mengambil jalan untuk meneruskan konsert tersebut, Insyaallah tiada halangan dari mana-mana pihak kerana kita sudah pun mendapat kelulusan,” katanya.

Nyata, mimpi dan keinginan para peminat Malaysia bakal berbalas kenyataan apabila kumpulan terkenal dari seberang itu bakal diterbangkan khas oleh TBRW Global untuk bertemu mata dengan peminat setia mereka sambil menyanyikan bersama-sama lagu kegemaran mereka. 

Slank tetap akan meneruskan konsert meskipun tarikh tersebut jatuh pada hari mengundi PRU15

Pihak penganjur cukup terharu dan gembira dengan kesudian Slank untuk muncul di Malaysia setelah sekian lama tidak muncul di Kuala Lumpur khususnya.

“Kita dengar di Kuala Lumpur ada sebuah tempat baharu yang sangat ‘happening’ yang dinamakan Zepp, ramai artis telah buat persembahan di situ. Jadi kami juga harus sekali membuat persembahan di situ supaya dapat mengeratkan silaturrahim bersama peminat di Malaysia,” ujar Kaka selaku vokalis utama Slank.

Selain Kaka, kumpulan Slank yang dianggotai oleh bimbim (dram), Abdee Negara (gitar), Ridho (gitar) dan Ivanka (bass) juga sangat teruja untuk bertemu para Slankers di Malaysia sambil membawakan lagu-lagu popular mereka pada malam konsert tersebut. 

Selain itu, Wan Norul Fadly mengumumkan Ratu Rock, Ella akan membuat penampilan istimewa pada konsert Slank tersebut.

“Ella akan berduet bersama Slank pada malam konsert tersebut dan menyampaikan lagu dangdut,” katanya.

Sementara itu, mewakili teman-teman Slank, Kaka mengaku band itu sangat teruja untuk bertemu Ella dan peminat Malaysia selepas kali terakhir mementaskan konsert pada 2014.

“Kami pernah berjumpa Ella, namun, tidak pernah berduet. Kami mencadangkan untuk bekerjasama dengan Ella kali ini.

“Kami akan menyanyikan lagu dangdut popular Indonesia yang diberi nafas baharu. Pastinya duet bersama Ella menyeronokkan,” katanya.

Ella bakal berduet bersama Slank dalam ‘Konsert 4 Dekad Slank’

Kumpulan Slank merupakan kumpulan rock terbesar di Indonesia yang berasal dari Jakarta. Kumpulan pujaan ramai ini diasaskan pada tahun 26 Disember 1983 oleh remaja di lorong di Jakarta yang bergelar Gang Potlot, dengan membawa muzik aliran rock. 

Slank muncul dengan album berjudul Suit-suit…Hehehe (Gadis Sexy) pada tahun 1990 diikuti dengan pelbagai album pada setiap tahun hinggalah album Vaksin Slank yang dilancarkan pada 1 Januari 2021 dengan tag line ‘Suntikan cinta yang menyehatkan hati dan mencerdaskan akal. Vaksin Slank.’ Sehingga kini dalam usia mencapai 40 tahun, Slank sudah mengeluarkan 24 buah album dan itu merupakan kunci kepada keberadaan mereka hingga kini.

Menurut Kaka, kunci kepada keberadaan mereka selama 40 tahun dalam industri dan diterima oleh pelbagai generasi adalah kerana rutin mengeluarkan karya baharu. Malah Bimbim yang merupakan pemain dram Slank menganggap bahawa pemuzik akan selalu diingati dan dilihat kerana karya mereka.

Pesan Bimbim lagi jangan berhenti berkarya kerana karya seniman akan ditunggu. Jika berhenti berkarya, orang akan turut berhenti mengikuti. 

Muzik Slank juga dianggap sebagai salah satu khazanah kebudayaan Indonesia. Malah kumpulan ini pernah merangkul pelbagai anugerah antaranya empat kali memenangi Album Rock Terbaik di Anugerah Musik Indonesia serta memenangi Most Favorite Band di Anugerah MTV Indonesia dan pelbagai lagi.

Setelah vakum kerana pandemik, akhirnya Slank muncul pada Mac tahun ini melalui persembahan pentas di Mandalika untuk mengubat kerinduan para Slankers. Dan tentunya tarikh 19 November ini merupakan tarikh yang ditunggu-tunggu oleh para peminat di Malaysia untuk melepaskan kerinduan tersebut untuk menyanyikan beramai-ramai lagu-lagu seperti Ku Tak Bisa,  I Miss You But I Hate You, Kamu Harus Pulang, Orkes Sakit Hati dan Virus.

Tiket ‘Konsert 4 Dekad Slank’ boleh didapati di https://www.ticket2u.com.my.