
KUALA LUMPUR : Detik yang pasti tidak akan dapat dilupakan bagi empat pemenang kategori ‘Artis Baharu Terbaik’, ‘Video Muzik Terbaik’, ‘Lagu Terbaik’ dan ‘Album Terbaik’ untuk Anugerah Industri Muzik edisi ke-23 (AIM).Â
Buat julung kalinya selain memenangi trofi AIM, mereka akan turut menerima Dana Kandungan Digital (DKD)Â Industri Muzik yang diberikan oleh Kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) sebagai satu bentuk galakan dan insentif kepada penggiat Industri Muzik.
Pemenang kategori anugerah terpilih akan menerima DKD sebanyak RM50,000 setiap seorang untuk ‘Artis Baru Terbaik’ dan ‘Lagu Terbaik’, RM20,000 untuk ‘Video Muzik Terbaik’ dan RM200,000 untuk ‘Album Terbaik’.Â
DKD merupakan antara inisiatif penting Kerajaan dalam membantu dan menggalakkan pengamal industri kreatif untuk menghasilkan, memasarkan dan mengedar kandungan kreatif yang tinggi nilainya kepada pasaran tempatan serta antarabangsa. Ini menunjukkan kesungguhan dan komitmen Kerajaan melalui K-KOMM dalam memupuk pertumbuhan industri kreatif termasuk industri muzik yang berpotensi besar sebagai salah satu tonggak utama pertumbuhan ekonomi dalam ekonomi digital baharu.
Menurut Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) dan Jawatankuasa Penganjur AIM23, Rosmin Hashim, “Kami baharu sahaja menerima berita gembira ini daripada K-KOMM dan RIM selaku penganjur AIM, amat menghargai dan berterima kasih atas sokongan yang diberikan oleh Kerajaan terhadap penggiat industri muzik tempatan. Selaras dengan matlamat AIM untuk meningkatkan kualiti kandungan  kreatif, inisiatif melalui DKD kepada empat pemenang kategori utama AIM ini akan menjadi pemangkin kepada penggiat Industri Muzik untuk menghasilkan karya kandungan kreatif berkualiti tinggi dan bertaraf antarabangsa’’.

Bagi pemenang kategori anugerah ‘Artis Baharu Terbaik’, DKD membolehkan penerima menghasilkan single yang lebih berkualiti sekaligus meningkatkan pembangunan kerjaya artis tersebut. Manakala, pemberian DKD kepada Pemenang anugerah ‘Lagu Terbaik’ boleh digunakan untuk menghasilkan single dan video muzik baharu dengan kualiti pengeluaran yang lebih tinggi.
Selain daripada itu, DKD turut diberikan kepada  pemenang kategori anugerah ‘Video Muzik Terbaik’ dan ‘Album Terbaik’ bagi mengalakkan penghasilan lebih banyak album yang berkualiti tinggi dan berpotensi untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.Â
DKD bagi pemenang AIM23 akan diberikan melalui syarikat rakaman kepada pemenang agar pelaburan DKD tersebut mencapai impak maksima dan produktif serta melibatkan pelbagai rantaian peluang pekerjaan di dalam ekosistem industri muzik tempatan.Â
Untuk mengetahui maklumat dan sebarang info lanjut berkenaan AIM, sila layari www.aim.org.my.