KUALA LUMPUR, 11 Jun 2025 – Festival Automotif & Gaya Hidup Malaysia (MALF) 2025 kembali menghangatkan arena permotoran negara apabila acara tahunan yang dinanti-nantikan itu dijadual berlangsung selama dua hari penuh aksi di Litar Antarabangsa Sepang pada 14 dan 15 Jun 2025.
Menggabungkan kelajuan, gaya hidup dan kekayaan budaya, MALF 2025 tampil sebagai festival tempatan bertaraf serantau yang meraikan kepelbagaian rakyat Malaysia dalam suasana penuh semangat 1Malaysia. Penganjur utama, KL Works, menyasarkan lebih 100,000 pengunjung dengan tawaran kemasukan percuma kepada semua.
“Festival MALF 2025 ini mencerminkan siapa kita sebagai sebuah negara hari ini — masyarakat berbilang kaum, bertenaga dan sentiasa maju ke hadapan. Ia meraikan semua rakyat Malaysia, dan kami berbesar hati dapat menganjurkannya,” kata Malcolm Khoo, Ketua Pegawai Eksekutif KL Works.

Antara tarikan utama festival tahun ini termasuk demonstrasi drift, pameran kereta retro, perhimpunan kelab kereta terbesar dengan lebih 800 kenderaan dipamerkan, akses ke kawasan pit, dan aksi istimewa daripada pemandu lagenda. Para peminat juga berpeluang menyertai ‘track day’ rasmi di litar Sepang.
Tidak terhenti di situ, MALF 2025 turut mengangkat warisan budaya negara dengan persembahan pelbagai etnik termasuk tarian tradisional dari Borneo dan negeri-negeri lain, persembahan dram serta muzik tempatan yang dinamik.
Festival ini juga mesra keluarga dengan pelbagai zon khas seperti:
- Zon kanak-kanak dengan aktiviti interaktif
- Ruang wanita eksklusif yang menawarkan perkhidmatan urutan dan penjagaan kuku
- Bazaar makanan dengan pilihan tempatan dan antarabangsa
- Auto Icons Show, Festival Motosikal dan Larian Kopi

Dalam satu temu bual bersama pihak media, Pengurus Acara MALF 2025, Jon, berkongsi pandangan tentang arah baharu festival tahun ini.
“Kami mahu MALF bukan sekadar festival kereta, tetapi medan penyatuan gaya hidup, budaya dan komuniti. Tahun ini, kami tambah banyak zon menarik untuk wanita dan kanak-kanak. Semua boleh hadir dan menikmati pengalaman yang lengkap.”
Mengulas tentang penglibatan serantau yang semakin meningkat, Jon berkata:
“Kami terima penyertaan luar biasa dari Singapura, Thailand dan Indonesia. MALF kini sudah dikenali sebagai salah satu festival gaya hidup automotif paling meriah di Asia Tenggara.”
Tambahnya lagi, beberapa kejutan masih dirahsiakan termasuk kehadiran selebriti automotif antarabangsa dan pelancaran istimewa daripada jenama terkenal.
Bersempena sambutan Hari Bapa pada hujung minggu tersebut, pengunjung disaran membawa seisi keluarga untuk menikmati gabungan elemen permotoran, makanan, seni dan warisan dalam suasana penuh keceriaan.
Untuk maklumat lanjut dan kemas kini terkini, orang ramai boleh mengikuti akaun rasmi media sosial MALF di @malfestivalmy (Instagram dan Facebook).
MALF 2025 bukan sekadar menghidupkan enjin — ia menggerakkan semangat baharu rakyat Malaysia!
Kredit foto: Papa Din