May 23, 2024

Stesen radio Suria FM dan ERA berjaya meraih pengiktirafan‘The Malaysia Book of Records’ (MBR) sebagai ‘Kolaborasi Rangkaian Radio Silang Pertama untuk Menyiarkan Siaran yang Sama Secara Serentak’ menerusi penjenamaan ERA Suria, Disini Segalanya Terkini diinspirasikan oleh CelcomDigi.

Sejarah tercipta menerusi gabungan segmen pagi ‘Morning Morning Suria’ dan ‘3 Pagi ERA’ kelolaan Ajak, Shuib, Suraya, Nabil, Azad dan Radin yang bersiaran secara langsung pada 23 Oktober 2023 (Isnin) dari jam 6.00 pagi hingga 10.00 pagi dengan membincangkan topik ‘Dulu Kawan, Sekarang Lawan & Dulu Lawan, Sekarang Kawan’.

Majlis penyampaian sijil rasmi ‘The Malaysia Book of Records’ itu telah disampaikan oleh Penolong Pengurus Pemasaran MBR, Jeska Seah, Perunding Rekod Kanan MBR, Siti Hajar Binti Johor kepada Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid (DJ Lin) dan Hani Fadzil, Pengurus Kandungan ERA dengan bersaksikan lebih 170,000 penonton sekaligus berjaya meraih sebanyak 4.3 juta ‘likes’ di siaran langsung ‘Tiktok’ Suria Malaysia dan ERA.

Menurut Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid (DJ Lin), “Mewakili Suria FM, kami sangat bersyukur dan gembira di atas pengiktirafan daripada ‘The Malaysia Book of Records’ pada hari ini menerusi gabungan dua segmen pagi di Suria dan ERA. Kami abadikan pengiktirafan ini sebagai sebuah sejarah dalam industri radio Malaysia kerana ini merupakan satu konsep dan landskap baru dalam industri radio tanah air. Mudah-mudahan ia mampu memberi inspirasi kepada penggiat industri radio yang lain untuk mengambil pendekatan yang sama mungkin dalam cara yang berbeza untuk terus memeriahkan industri ini agar terus berkembang maju”

“Diharapkan melalui jalinan kerjasama bersama ERA, mampu menghasilkan satu perpaduan yang lebih utuh dan semoga lebih banyak kolaborasi di masa mendatang. Suria FM akan terus memberi sokongan kepada segala inisiatif baik yang mampu memberikan impak positif kepada masyarakat khususnya buat para pencinta radio. Sekali lagi, kami amat berbesar hati dan ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada ERA atas jalinan kerjasama baik ini”

Hani Fadzil, Pengurus Kandungan ERA, berkata, “Kami berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia atas sokongan mereka dan berharap kolaborasi ERA dan Suria FM ini terus menjadi perintis dalam mengubah landskap audio tempatan. Terima kasih juga diucapkan kepada Malaysia Book of Records atas pengiktirafan yang diberikan dan diharap semua rakyat Malaysia dapat menikmati pilihan radio yang pelbagai dan relevan daripada kami.”

Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid (DJ Lin)