KUALA LUMPUR – SAH Entertainment terus mengukuhkan kedudukannya dalam industri muzik dengan menjalin kolaborasi eksklusif bersama Universal Music Malaysia bagi penganjuran tiga konsert mega melibatkan artis popular tanah air – Ernie Zakri, DOLLA, dan Insomniacks.
Usaha ini bukan sahaja memperlihatkan kehebatan muzik tempatan, malah memperluaskan pengaruh industri hiburan Malaysia ke peringkat serantau, termasuk Singapura.
Menurut Sufi Rashid, penganjur utama bagi ketiga-tiga konsert, langkah ini merupakan strategi penting bagi memberikan lebih banyak peluang kepada artis berbakat untuk bersinar di pentas antarabangsa.

“SAH Entertainment berbesar hati membawa nama-nama besar seperti Ernie Zakri, DOLLA, dan Insomniacks ke pasaran yang lebih luas. Kerjasama dengan Universal Music Malaysia juga menjadi pemangkin dalam usaha menaikkan martabat seni suara negara,” katanya.
Jadual Konsert SAH Entertainment 2025
📅 31 Mei 2025 – Ernie Zakri Live in Singapore (Capitol Theatre, Singapura)
📅 12 Julai 2025 – Insomniacks Live in Kuala Lumpur (Zepp Kuala Lumpur)
📅 30 Ogos 2025 – DOLLA Live in Singapore (Capitol Theatre, Singapura)
📅 29 November 2025 – Insomniacks Live in Singapore (Capitol Theatre, Singapura)
Dengan pemilihan venue eksklusif seperti Capitol Theatre di Singapura dan Zepp Kuala Lumpur, SAH Entertainment berusaha memastikan pengalaman muzik yang luar biasa dengan penggunaan teknologi audio dan visual yang canggih.
“Kami berharap usaha ini dapat diteruskan bagi memastikan lebih ramai artis berbakat berpeluang beraksi di pentas yang lebih besar,” tambah Sufi.

Sementara itu, Kim Lim, Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, menyifatkan kerjasama dengan SAH Entertainment sebagai satu langkah strategik untuk mengembangkan bakat artis di rantau ini.
“Tahun ini, kami memberi fokus kepada tiga artis utama – Ernie Zakri, DOLLA dan Insomniacks – untuk mencapai peminat muzik serumpun. Dengan pengalaman SAH Entertainment dalam penganjuran konsert, termasuk kejayaan konsert solo ‘sold-out’ Ernie Zakri di Kuala Lumpur, kami yakin gandingan kreatif ini akan membina platform luar biasa bagi ketiga-tiga artis ini,” katanya.
Kim turut menyatakan bahawa inisiatif ini bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan industri kreatif Asia Tenggara, tetapi juga memupuk pertumbuhan komuniti muzik yang didorong oleh generasi muda dan platform digital.
Ernie Zakri Fokus Jualan Tiket dan Persiapan Konsert
Ernie yang baru sahaja selesai dengan Aura: Ernie Zakri Live in Concert serta penyertaannya di Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL), kini memberi tumpuan kepada penjualan tiket konsert di Singapura.

“Buat masa ini, saya masih berehat atas nasihat doktor selepas konsert tempoh hari. Namun, saya sangat teruja kerana ini akan menjadi konsert solo pertama saya di Singapura. Saya tahu peminat di sana memberikan sokongan luar biasa dan saya tak sabar untuk bertemu mereka,” katanya.
DOLLA dan Insomniacks Teruja
Mewakili DOLLA, Sabronzo meluahkan rasa teruja kerana akhirnya impian mereka untuk mengadakan konsert solo di Singapura bakal menjadi kenyataan.

“Kami tidak sabar bertemu peminat yang telah menyokong kami sejak awal. Kami janji akan memberikan persembahan terbaik dan menjadikan malam itu satu kenangan yang tidak akan dilupakan,” kata Angel dan Tabby.
Bagi Insomniacks, konsert tahun ini dianggap sebagai satu pencapaian besar dalam perjalanan seni mereka.

“Tahun 2025 sangat bermakna buat kami kerana akhirnya dapat mengadakan konsert besar di Kuala Lumpur dan Singapura. Terima kasih kepada semua peminat yang menyokong kami selama ini. Kami akan pastikan persembahan di Zepp KL dan Capitol Theatre menjadi pengalaman yang sukar dilupakan,” ujar mereka.
Para peminat boleh mendapatkan maklumat terkini dan pembelian tiket melalui laman media sosial rasmi SAH Entertainment.