PETALING JAYA : Membuka berbicara mengenai dirinya yang terlalu memifikirkan hal-hal negatif, Yana menjadikan situasi hidupnya sebagai motivasi buat dirinya bagi mencari erti cinta sekali gus mencetuskan idea menghasilkan lagu baharunya berjudul Escape. Lagu ini bertitik tolak daripada tempoh sepanjang Yana mengalami kesulitan mencari ketenangan dan keseimbangan diri dalam masa-masa mencabar.
“Lagu ini berkaitan cubaan untuk lari daripada gangguan fikiran yang negatif di mana saya harus bergantung kepada diri sendiri untuk menyayangi diri sendiri supaya mampu memerangi anasir jahat dalam fikiran dan diterjemahkan dalam sebaris lagu ini yang berbunyi ‘Can u be my escape’,” kata Yana.
Bekerjasama rapat dengan penerbit Curley, Escape mempamerkan laras vokal Yana yang cukup mengagumkan sebagai seorang penyanyi. Bagi penghasilan video muzik (MV), Yana menyerahkan kepercayaan sepenuhnya kepada pengarah dan pasukan produksi kreatif Creative Junkies untuk menentukan hala tuju MV ini demi memastikan visual yang terhasil menggambarkan emosi dan penghayatan yang sempurna.
“Kami memilih konsep lebih abstrak tapi mudah untuk difahami kerana visual yang digambarkan mewakili fikiran mendalam saya dan saya juga ingin memberitahu kepada peminat betapa sulitnya apa yang saya pernah alami untuk terus maju ke hadapan dalam realiti kehidupan. Bekerja dengan pasukan yang cukup memahami kehendak saya, walaupun penuh dengan kesukaran, ditambah pula dengan beberapa babak yang memerlukan saya membuka mata dalam air sambil menyanyi, ianya amat sukar tetapi kerjasama yang diberikan begitu bermakna buat saya,” katanya.
Dengan pelancaran lagu ini, Yana berharap peminat dapat bertemu ketenangan yang dicari selain menjadikan mesej lagu ini sebagai sebuah cara melepaskan diri setiap kali berdepan dengan kesulitan.
“Harapan saya agar lagu ini mampu mengaitkan kisah pendengar dengan cerita hidup saya. Semoga mereka tidak akan pernah merasa sunyi atau pelik sepanjang menjalani perjalanan hidup masing-masing.” Katanya.