July 19, 2024

KUALA LUMPUR – Nama Eylia Guntabid diumumkan sebagai peserta yang mendapat markah tertinggi dalam persaingan Suku Akhir Keempat Bintang RTM 2024 berlangsung di Auditorium Seri Angkasa, Kota Media Angkasapuri, Sabtu lalu.

Menyampaikan lagu ‘Cinta Datang Lagi’ nyanyian asal Dina Nadzir, Eylia Guntabid memperoleh 87 markah diikuti tempat kedua Dhania dengan lagu ‘Damelo’ dengan kutipan 81.6 markah dan Shah Rezza memperoleh 78.6 markah mempertaruhkan lagu ‘Aku Penghiburmu’.   

Pada malam sama diumumkan dua peserta tersingkir iaitu Akmar Natasha dan Jon yang masing-masing memperoleh markah terendah iaitu 56.3 dan 51.3 sekaligus menamatkan persaingan mereka pada minggu keempat. Tidak dinafikan, pemilihan lagu tidak tepat antara faktor utama dua peserta ini tersingkir.

Datuk Syafinaz Selamat selaku juri tetap Bintang RTM 2024 minggu ini tegas dalam memberi komen dan mengingatkan kepada semua peserta, ini adalah pertandingan, bukan persembahan. Beliau juga menegaskan ini kerana hadiah untuk pemenang sangat besar untuk satu pertandingan amatur.

Turut bertanding Roxy Ixzy memperoleh 78 markah, Hady Huv (77.6), Joy (76.3), Feka (74.6), Scha Nuril (69.3), dan Azumi menerima 57.3 markah. Selain Datuk Shafinaz, persembahan mereka dinilai dan diadili oleh LY, Ernie Zakri dan juri undangan Azharina Azhar merupakan bekas Juara Bintang RTM 2001.

Konsert Bintang RTM 2024 bakal diteruskan dalam persaingan Suku Akhir kelima pada 10 Februari depan, pukul 9.00 malam di TV2 dan secara dalam talian melalui RTMKlik (rtmklik.rtm.gov.my). Kesemua sembilan peserta program realiti nyanyian ini bakal mempersembahkan lagu pilihan masing-masing bagi merebut tempat ke peringkat seterusnya.

Berikut disenaraikan lagu-lagu tugasan peringkat Suku Akhir 5 Bintang RTM 2024:

  1. Eylia Guntabid – Saving All My Love for You (Whitney Houston)
  2. Feka – Sangkar Cinta (Ziana Zain)
  3. Azumi – Sekadar Di Pinggiran (Dato’ Francissca Peter)
  4. Scha Nuril – Ku Ke Udara Lagi (Dato’ Francissca Peter)
  5. Hady Huv – Terasing (Dato’ Sudirman Haji Arshad)
  6. Shah Rezza – Jangan Kau Rayu (Rahim Maarof)
  7. Roxy Ixzy – Darah Muda (Wann)
  8. Dhania – Tragedi Buah Apel (Anita Sarawak)
  9. Joy – Juwita (Saleem)