December 4, 2024

KUALA LUMPUR – Penyanyi balada popular Malaysia, Ezad Lazim, yang telah lama dikenali dengan suaranya yang merdu dan lagu-lagu penuh emosi, sekali lagi mencuri perhatian peminat muzik tanah air. Kali ini, Ezad tampil dengan versi baharu lagu viral “Rindu Hatiku Rindu,” yang sebelum ini dipopularkan oleh penyanyi cilik, Tantari.

Dengan susunan muzik yang mengimbau era 90-an, Ezad membawa nafas segar ke dalam lagu tersebut, menjadikannya lebih dekat dengan jiwa pendengar dewasa. Suara lemak merdu dan gaya nyanyian unik Ezad berjaya menyuntik emosi mendalam, membawa nuansa nostalgia yang memikat.

Versi asal lagu ini, ciptaan komposer terkenal Eddie Hamid dan lirik hasil karya Jaju dan Hakim Hakimi, telah mendapat sambutan luar biasa apabila ia tular awal tahun ini. Lagu tersebut dinyanyikan oleh Tantari, atau nama sebenarnya Naufal Azahel Mohd Alfian, ketika berusia enam tahun, dan berjaya menduduki tangga #1 di carta Trending YouTube selama 20 hari berturut-turut, meraih lebih 9 juta tontonan. Kejayaan ini turut diperkukuhkan dengan viralnya lagu tersebut di TikTok, mengumpul lebih 4 juta tontonan di platform tersebut.

Ezad menyifatkan peluang untuk merakam semula lagu ini sebagai satu penghormatan besar. “Saya berasa amat terharu dan bangga diberi peluang untuk merakamkan semula lagu yang telah menambat hati ramai. Harapan saya, versi ini akan mendapat sambutan yang sama hebat seperti versi asal,” kata Ezad ketika ditemui.

Ezad turut menambah bahawa “Rindu Hatiku Rindu” sangat istimewa bukan hanya buat pendengar muzik masa kini tetapi juga sebagai penghargaan kepada seni yang kekal relevan sepanjang zaman. Versi baharu ini, katanya, diharapkan dapat memperluaskan kelompok pendengar dan memperkenalkan lagu tersebut kepada generasi baharu.

Proses Rakaman Teliti untuk Kekalkan Keaslian Lagu

Proses rakaman versi Ezad dijalankan dengan teliti, di mana beliau bekerjasama rapat dengan penerbit untuk mengekalkan elemen asli yang mencetuskan kejayaan lagu asal. Susunan muzik juga diolah sedikit bagi menyesuaikan dengan vokal Ezad yang lebih matang sebagai penyanyi dewasa, tanpa menghilangkan keaslian yang menjadi tunjang lagu tersebut.

“Saya ingin pastikan peminat setia lagu ini merasai aura yang sama, namun dengan sedikit kelainan yang membawa perspektif seorang penyanyi dewasa. Saya harap ia akan meninggalkan impak yang kuat,” jelas Ezad lagi.

Ezad Lazim: Bintang Malaya dengan Rekod Lagu Hits

Ezad bukanlah nama asing dalam industri muzik. Memulakan kerjaya sebagai vokalis kumpulan Exists, beliau telah melakar banyak lagu malar segar yang terus popular sehingga kini, termasuk “Jesnita” (16 juta tontonan di YouTube), “Mengintai Dari Tirai Kamar” (14 juta tontonan), “Seperti Dulu” (14 juta tontonan), dan “Alasanmu” (10 juta tontonan).

Sebagai penyanyi solo, Ezad juga berjaya mencipta fenomena tersendiri dengan lagu-lagu hits seperti “Demi Cinta” (14 juta tontonan), “Percintaan Ini” (5.2 juta tontonan), dan “Hati Mati” (3.8 juta tontonan) yang menjadi siulan ramai peminat.

Single “Rindu Hatiku Rindu” Sudah Boleh Distrim di Semua Platform

Bagi yang ingin merasai sendiri magis versi baharu “Rindu Hatiku Rindu” nyanyian Ezad Lazim, single ini sudah boleh distrim di semua platform muzik. Video lirik rasmi yang dimuat naik pada 18 September lalu berjaya mencapai kedudukan dalam Top 20 Trending di YouTube, membuktikan sambutan positif peminat. Malah, video muzik rasmi lagu tersebut bakal dilancarkan secara eksklusif di saluran YouTube ‘Nova Music Videos’ pada hari ini, 8 November 2024.

Adakah Ezad Lazim akan sekali lagi mencipta fenomena dengan lagu ini? Peminat kini hanya perlu menunggu, namun dengan sentuhan peribadi Ezad dan gaya persembahan yang lebih matang, lagu “Rindu Hatiku Rindu” versi Ezad dijangka mampu menarik minat ramai pendengar baharu dan lama.

Rindu Hatiku Rindu – Ezad Lazim | Muzik Video Rasmi