PETALING JAYA, 15 Mac 2025 – Program dokumentari siasatan terkenal, Fail Mahkamah di TV3, bakal menyiarkan dua episod istimewa yang mengupas secara mendalam kes tragis Zulfarhan Osman. Dokumentari ini menjadi tumpuan ramai kerana merungkai perjalanan kes sehingga ke peringkat Mahkamah Rayuan, menjadikannya antara liputan paling komprehensif dalam sejarah televisyen Malaysia.
Bertajuk ‘Zulfarhan: 19 Lawan 1’, episod pertama telah disiarkan pada 12 Mac lalu, sementara episod kedua akan menemui penonton pada 26 Mac 2025, jam 9 malam. Dokumentari ini bukan sekadar mengimbas kronologi kejadian, tetapi turut menganalisis fakta-fakta penting yang membawa kepada keputusan Mahkamah Rayuan pada 23 Julai 2024. Keputusan tersebut menyaksikan Mahkamah Rayuan menolak hukuman pemenjaraan 18 tahun yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, sebaliknya menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap enam Orang Kena Tuduh (OKT). Keputusan ini mencetuskan perdebatan meluas dalam kalangan masyarakat, khususnya di platform media sosial.

Melalui pendekatan analitikal dan berpandukan bukti sahih, dokumentari ini menampilkan pendedahan terperinci tentang punca kejadian, proses perbicaraan serta cabaran yang dihadapi pihak pendakwaan dalam menegakkan keadilan. Turut dipaparkan adalah strategi pembelaan dan bagaimana perubahan perspektif terhadap bukti serta keterangan saksi membuka ruang kepada semakan semula keputusan mahkamah.
Saksikan episod penuh ‘Zulfarhan: 19 Lawan 1’ dalam Fail Mahkamah pada 26 Mac 2025, jam 9 malam di TV3. Dokumentari ini juga boleh distrim secara langsung melalui Tonton di www.tonton.com.my atau aplikasi Tonton di Google Play dan App Store. Untuk perkembangan terkini, ikuti media sosial rasmi TV3 di Facebook, Instagram & Twitter @TV3Malaysia serta TikTok @TV3MalaysiaOfficial.